Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • BISNES
  • Bursa Malaysia dijangka meningkat minggu depan susulan sentimen kukuh – Penganalisis
  • BISNES

Bursa Malaysia dijangka meningkat minggu depan susulan sentimen kukuh – Penganalisis

Utusan Sarawak 7 hours ago

KUALA LUMPUR: Indeks utama Bursa Malaysia dijangka melepasi paras psikologi 1,700 pada minggu depan, didorong oleh sentimen lebih kukuh selain harga minyak lebih stabil, kata penganalisis.

Faktor pendorong lain adalah momentum luaran serta situasi ketidaktentuan yang makin reda selain aliran masuk dana asing.

Pengarah Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata kedudukan pelabur dilihat kini lebih konstruktif ketika risiko konflik Amerika Syarikat (AS)-Iran diteliti semula dengan niaga hadapan minyak mentah Brent lebih stabil di bawah AS$100 setong sejak Rabu.

Keadaan itu, katanya, membantu dari segi inflasi bagi tempoh terdekat serta mengurangkan impak susulan.

Beliau berkata aliran peningkatan berterusan ekuiti AS bagi tujuh sesi berturut-turut sebelum ini juga berkemungkinan melimpah ke pasaran pesat membangun yang memaparkan momentum berterusan dan bukannya bersifat pemulihan semula secara sementara.

Paparan sedemikian turut menjadi isyarat peningkatan asas serta pemulihan minat risiko di peringkat global.

Mohd Sedek berkata pelabur asing juga telah beralih sebagai pembeli bersih di Bursa Malaysia setakat Khamis lepas dengan aliran masuk bagi tempoh Selasa hingga Khamis turut menunjukkan penglibatan semula yang awal namun ketara dalam ekuiti Malaysia.

“Perubahan ini berlaku selepas aliran keluar dana asing yang berterusan dan menunjukkan dana global mula meneliti semula kedudukan masing-masing apabila risiko luaran dilihat makin stabil.

“Senario yang menyaksikan penyertaan semula pelabur asing ini penting berikutan pengaruh besar terhadap mudah tunai pasaran dan hala tuju indeks selain menandakan peringkat awal peruntukan semula lebih meluas dalam pasaran sedang pesat membangun, termasuk Malaysia,” katanya kepada Bernama.

Seorang penganalisis lain berkata peserta pasaran turut memantau perkembangan konflik Asia Barat, termasuk rundingan AS-Iran yang dijadual berlangsung di Islamabad akhir minggu ini.

Bagi minggu baru berakhir, Bursa Malaysia menyaksikan dagangan dalam julat kecil yang menjejaki prestasi pasaran serantau di tengah-tengah konflik Asia Barat.

Selain itu bagi perbandingan Jumaat hingga Jumaat, FBM KLCI susut 4.19 mata kepada 1,691.31 daripada 1,695.50 minggu lepas.

Di papan indeks pula, Indeks FBM Top 100 naik 8.54 mata kepada 12,259.66, Indeks FBM Emas meraih 20.50 mata kepada 12,412.66, Indeks FBM Emas Shariah menokok 19.77 mata kepada 12,289.33, Indeks FBM ACE menambah 120.06 mata kepada 4,429.98 manakala Indeks FBM Mid 70 melonjak 180.03 mata kepada 17,320.97. 

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 65.06 mata kepada 19,784.66, Indeks Perladangan susut 188.26 mata kepada 8,967.25, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 1.16 mata kepada 185.91 dan Indeks Tenaga turun 5.27 mata kepada 813.25. 

Jumlah dagangan mingguan berkurangan kepada 15.14 bilion unit bernilai RM14.39 bilion daripada 17.79 bilion unit bernilai RM18.83 bilion, seminggu sebelumnya.

Di Pasaran Utama, jumlah dagangan susut kepada 9.44 bilion unit bernilai RM13.32 bilion daripada 11.56 bilion unit bernilai RM17.73 bilion sebelum ini.

Jumlah waran susut kepada 4.28 bilion unit bernilai RM529.01 juta daripada 4.92 bilion unit bernilai RM616.50 juta pada minggu lepas.

Bagi Pasaran ACE, jumlah dagangannya menguncup kepada 1.40 bilion unit bernilai RM544.66 juta daripada 1.31 bilion unit bernilai RM479.05 juta dalam minggu sebelumnya. – Bernama

Continue Reading

Previous: Niaga Hadapan MSM dijangka dalam jajaran kecil minggu depan susulan aktiviti ambil untung

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.