KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dijangka diniagakan dalam sentimen berhati-hati minggu depan dengan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) diunjur kekal stabil sehingga pemangkin baharu muncul.
Naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng menjangka indeks petunjuk pasaran diniagakan tidak berubah buat masa ini sehingga adanya gambaran lebih jelas mengenai penurunan kadar faedah Amerika Syarikat (AS).
“Wall Street masih berharap bahawa Rizab Persekutuan AS (Fed AS) akan mula menurunkan kadar faedah utamanya pada Jun,” katanya.
Thong menjangkakan FBM KLCI diniagakan dalam jajaran 1,527-1,557 minggu depan.
“FBM KLCI kekal dalam fasa penstabilan sejak dua minggu lepas. Meskipun berada dalam fasa tersebut, indeks sentiasa kekal di atas paras 50-hari Exponential Moving Averages (EMA).
“Oleh itu, kami mengekalkan pandangan bahawa indeks petunjuk pasaran stabil dengan kecenderungan meningkat sedikit, dengan jangkaan ia berlegar sekitar 20-hari EMA,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata fasa penstabilan ini dijangka berterusan bagi tempoh lebih lama, dengan paras sokongan dilihat pada jajaran 1,525-1,531, diikuti paras sokongan kritikal pada 1,520 dan kemudiannya 1,508.
Bagi asas Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI susut 6.32 mata kepada 1,536.07 daripada paras 1,542.39 pada minggu sebelumnya.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 16.49 mata kepada 11,571.59, Indeks FBM 70 melonjak 263.38 mata kepada 16,234.08, Indeks FBM ACE menokok 40.72 mata kepada 4,897.06 dan Indeks FBMT 100 menambah 13.39 mata kepada 11,217.57.
Bagaimanapun, Indeks FBM Emas Shariah turun 8.46 mata kepada 11,643.52.
Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.90 mata kepada 179.63, Indeks Tenaga naik 18.02 mata kepada 952.36, dan Indeks Perkhidmatan Kewangan mengukuh 84.39 mata kepada 17,237.27. Bagaimanapun, Indeks Perladangan berkurangan 49.0 mata kepada 7,287.67.
Jumlah dagangan mingguan turun kepada 14.40 bilion unit bernilai RM11.29 bilion daripada 21.24 bilion unit bernilai RM14.16 bilion pada minggu sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 8.85 bilion saham bernilai RM10.06 bilion daripada 13.10 bilion saham bernilai RM12.35 bilion.
Jumlah dagangan waran susut kepada 2.38 bilion unit bernilai RM332.09 juta berbanding 4.17 bilion unit bernilai RM563.70 juta.
Jumlah dagangan Pasaran ACE jatuh kepada 3.09 bilion saham bernilai RM896.65 juta daripada 3.92 bilion saham bernilai RM1.24 bilion. – Bernama