
KUALA LUMPUR: FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka mencatatkan lantunan sederhana minggu depan susulan aktiviti membeli saham berharga rendah yang berterusan selepas penurunan baru-baru ini.
Mohd Sedek Jantan, ketua penyelidikan pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd berkata bagaimanapun pemulihan dijangka terhad, dipacu oleh sektor tertumpu dalam negara yang akan mendapat manfaat daripada pertumbuhan diterajui penggunaan dan sokongan fiskal yang berterusan.
“Namun, jika tiada pemangkin makro atau dasar baharu, momentum menaik mungkin terhad pada tahap paras rintangan psikologi 1,555. Melepasi ambang ini, aktiviti dagangan mungkin berkurangan apabila peserta pasaran menilai semula penilaian dan dinamik ganjaran risiko,” katanya kepada Bernama.
Bagi minggu yang baru berakhir ini, Bursa Malaysia pulih daripada penurunan enam hari berturut-turut pada Jumaat disokong oleh aktiviti membeli saham berharga rendah yang menambah baik sentimen risiko.
Pada asas Jumaat-ke-Jumaat, indeks petunjuk pasaran susut 36.37 mata kepada 1,535.38 daripada 1,571.75 pada minggu sebelumnya.
Indeks FBM Emas susut 271.99 mata kepada 11,474.05, Indeks FBMT 100 turun 239.6 mata kepada 11,233.10, Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 247.96 mata kepada 11,426.22, Indeks FBM 70 jatuh 352.15 mata kepada 16,350.26 dan Indeks FBM ACE menyusut 149.92 mata kepada 4,615.94.
Merentas sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 385.07 mata kepada 18,102.58, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian berkurangan 5.64 mata kepada 154.04 dan Indeks Tenaga susut 18.61 mata kepada 710.77.
Indeks Perladangan turun 55.28 mata kepada 7,330.3 dan Indeks Penjagaan Kesihatan menokok 46.45 mata kepada 1,833.89.
Jumlah dagangan susut kepada 14.05 bilion unit bernilai RM11.28 bilion daripada 14.98 bilion unit bernilai RM12.68 bilion pada minggu sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran Utama turun kepada 7.14 bilion unit bernilai RM10.06 bilion daripada 7.46 bilion unit bernilai RM11.37 bilion.
Jumlah dagangan waran berkurangan kepada 5.13 bilion unit bernilai RM645.54 juta daripada 5.59 bilion unit bernilai RM703.66 juta.
Jumlah dagangan Pasaran ACE menyusut kepada 1.78 bilion unit bernilai RM563.52 juta daripada 1.93 bilion unit bernilai RM601.97 juta.– Bernama