
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia kembali pulih untuk dibuka tinggi pada Khamis, menjejaki kenaikan Wall Street semalaman susulan tekanan inflasi di Amerika Syarikat (AS) yang semakin reda meningkatkan sentimen pelabur ke atas aset berisiko.
Pada 9.10 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 4.30 mata kepada 1,718.06 daripada 1,713.76 ketika ditutup pada Rabu, selepas dibuka 3.0 mata lebih tinggi pada 1,716.76.
Sentimen pasaran secara keseluruhan menyaksikan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 200 berbanding 154, manakala 274 kaunter tidak berubah, 2,107 tidak diniagakan dan 12 digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 165.33 juta saham bernilai RM83.24 juta.
Malacca Securities Sdn Bhd berkata Wall Street dijangka meneruskan momentum positif selepas inflasi pengeluar AS yang lebih rendah daripada jangkaan mengukuhkan petunjuk bahawa tekanan harga semakin reda, sekali gus mendorong pelabur mengurangkan jangkaan terhadap kenaikan selanjutnya kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed) AS serta meningkatkan selera terhadap aset berisiko.
“Dalam persekitaran itu, FBM KLCI dijangka diniagakan lebih kukuh sejajar dengan sentimen risiko global yang semakin baik, dengan saham teknologi dijangka terus menarik minat belian terpilih,” katanya dalam satu nota penyelidikan.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank, Public Bank dan CIMB masing-masing meningkat dua sen kepada RM10.98, RM5.07 dan RM7.73. IHH Healthcare naik tiga sen kepada RM6.64, manakala Tenaga Nasional tidak berubah pada RM14.38.
Bagi saham aktif, Tanco, VS Industry dan Thriven Global masing-masing menambah 0.5 sen kepada 32 sen, 22.5 sen dan 12.5 sen. HHRG susut satu sen kepada 15.5 sen, manakala Cuscapi dan TWL tidak berubah masing-masing pada 11 sen dan dua sen.
Dalam kalangan kaunter paling untung, MISC, Zhulian dan Tong Herr masing-masing meningkat tujuh sen kepada RM8.09, 82 sen dan RM1.68. SD Guthrie menambah enam sen kepada RM6.68, manakala Petronas Chemicals naik lima sen kepada RM8.70.
Malaysian Pacific Industries muncul kaunter paling rugi selepas susut RM1.10 kepada RM44.64. Vitrox merosot 15 sen kepada RM7.54, Kelington kehilangan 13 sen kepada RM7.64 dan UWC turun 12 sen kepada RM6.04.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 15.57 mata kepada 12,665.31, Indeks FBMT 100 naik 15.56 mata kepada 12,496.08 dan Indeks FBM Emas Syariah bertambah 11.18 mata kepada 12,513.96.
Indeks FBM Mid 70 bagaimanapun susut 45.22 mata kepada 17,840.55, manakala Indeks FBM ACE meningkat 11.85 mata kepada 4,899.90.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 40.16 mata kepada 20,194.55, Indeks Perladangan meningkat 32.58 mata kepada 9,471.54 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian bertambah 0.43 mata kepada 187.18.
Bagaimanapun, Indeks Tenaga susut 1.96 mata kepada 768.20. – Bernama



