
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka tinggi pada Isnin namun kemudiannya menyusut berikutan pelabur mengambil keuntungan susulan kenaikan indeks petunjuk pasaran kepada paras tertinggi dalam tempoh dua minggu, melepasi paras 1,690 minggu lepas.
Pada 9.10 pagi, indeks petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) rendah 2.49 mata atau 0.14 peratus kepada 1,689.0 daripada 1,691.49 ketika ditutup pada Jumaat.
Indeks petunjuk pasaran itu dibuka menokok 1.81 mata kepada 1,693.30.
Sentimen pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung sebanyak 196 berbanding 134 manakala 306 kaunter tidak berubah, 2,078 tidak diniagakan dan 33 yang lain digantung dagangan.
Jumlah dagangan sebanyak 198.87 juta saham bernilai RM78.81 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Wall Street ditutup lebih tinggi secara keseluruhannya diterajui oleh saham-saham berkaitan teknologi.
Selain itu, sentimen pasaran semakin baik susulan laporan bahawa Amerika Syarikat dan Iran dijangka kembali mengadakan rundingan.
Beliau berkata, bagi dalam negara, FBM KLCI meningkat kepada paras tertinggi dalam tempoh dua minggu, melepasi paras 1,690 apabila dana pelaburan membeli saham-saham dalam indeks yang berprestasi rendah susulan isyarat jelas aktiviti pembelian saham ketika harga rendah.
“Bagaimanapun, kami yakin pasaran masih berhati-hati. Oleh itu, kami menjangka indeks bergerak dalam julat 1,680 hingga 1,695 hari ini,” katanya.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan CIMB masing-masing susut dua sen kepada RM10.88 dan RM7.62, Public Bank meningkat satu sen kepada RM4.90 manakala Tenaga Nasional naik dua sen kepada RM14.32. IHH Healthcare pula tidak berubah pada RM8.44.
Bagi saham aktif, Tanco meningkat satu sen kepada 20.5 sen manakala Land & General dan VS Industry masing-masing naik setengah sen kepada 17 sen dan 20 sen. Bagaimanapun, Advance Synergy dan Zetrix AI masing-masing susut setengah sen kepada 7.5 sen dan 74.5 sen.
Dalam kalangan saham paling untung, Nestle meningkat 20 sen kepada RM92.00, LPI Capital naik 18 sen kepada RM15.18, Petronas Chemicals menokok 15 sen kepada RM4.45, United Malacca mengukuh 12 sen kepada RM6.10 manakala Hibiscus Petroleum naik lima sen kepada RM2.04.
Malaysian Pacific Industries menerajui senarai saham rugi apabila susut 68 sen kepada RM45.32. Petronas Dagangan turun 26 sen kepada RM19.30, Kuala Lumpur Kepong susut 14 sen kepada RM21.46, SAM Engineering berkurangan 12 sen kepada RM4.66 manakala Hong Leong Financial rendah 10 sen kepada RM18.50.
Sementara itu, Sime Darby Property Bhd dalam makluman kepada Bursa Malaysia mengumumkan urus niaga saham syarikat itu digantung bermula 9.00 pagi hari ini dan disambung semula pada 10.00 pagi.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 13.73 mata kepada 12,510.07, Indeks FBMT 100 turun 16.95 mata kepada 12,337.38 manakala Indeks FBM Emas Syariah berkurangan 5.94 mata kepada 12,367.67.
Indeks FBM 70 menyusut 19.21 mata kepada 17,839.26 manakala Indeks FBM ACE rendah 0.66 mata kepada 4,892.77.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 47.44 mata kepada 19,874.21, Indeks Perladangan turun 30.43 mata kepada 9,171.87 manakala Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan meningkat 0.65 mata kepada 183.23 dan Indeks Tenaga naik 6.15 mata kepada 774.97.-Bernama



