Bursa Malaysia dibuka tinggi sebelum catat penurunan

Facebook
WhatsApp
BURSA Malaysia

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka tinggi pagi ini, namun menurun kemudiannya berikutan pelabur mengambil pendekatan berhati-hati dalam persekitaran aktiviti pengambilan untung secara berselang-seli.

Pada 9.07 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menyusut 4.56 mata kepada 1,720.34 daripada 1,724.90 semasa ditutup pada Jumaat lepas.

Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi 0.36 mata kepada 1,725.26.

Pasaran secara menyeluruh negatif, dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 202 berbanding 140 manakala 314 kaunter tidak berubah, 2,074 tidak diniagakan dan 20 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 155.82 juta saham bernilai RM63.19 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata FBM KLCI meningkat kepada paras tertinggi dalam tempoh seminggu, disokong oleh aktiviti belian saham pada harga rendah minggu lepas, seiring dengan prestasi positif Wall Street walaupun hasil bon Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) meningkat.

“Pada peringkat domestik, FBMKLCI turut meningkat kepada paras tertinggi dalam tempoh seminggu, disokong oleh aktiviti belian saham pada harga rendah yang meluas.

“Bagaimanapun, kami mendapati sentimen pasaran masih berhati-hati di tengah-tengah aktiviti pengambilan untung secara berselang-seli pada Jumaat lepas,” katanya dalam nota penyelidikan.

Oleh itu, katanya indeks utama dijangka berada dalam julat 1,720 hingga 1,735 hari ini.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan Tenaga, masing-masing menurun dua sen kepada RM10.88 dan RM14.58, Public Bank dan IHH Healthcare, masing-masing berkurangan satu sen kepada RM5.16 dan RM8.34 serta CIMB Group merosot setengah sen kepada RM7.84.

Bagi saham aktif, Hubline dan Advance Energy, masing-masing menurun setengah sen kepada tiga sen dan 65 sen manakala Swift Energy Technology naik satu sen kepada 25.5 sen, NexG dan VS Industry, masing-masing meningkat setengah sen kepada 28 sen dan 23.5 sen.

Kaunter paling untung termasuklah Malaysian Pacific Industries, meningkat 48 sen kepada RM46.48, UMS Integration menambah 17 sen kepada RM7.52, KESM Industries naik 10 sen kepada RM4.42, Texchem Resources dan MISC, masing-masing menokok tujuh sen kepada RM1.06 dan RM8.06.

Kaunter paling rugi ialah Petronas Chemicals menurun 16 sen kepada RM4.62, Time Dotcom berkurangan lapan sen kepada RM5.92, Press Metal Aluminium merosot tujuh sen kepada RM7.89, Kim Hin Industry dan HeiTech Padu, masing-masing menyusut enam sen kepada 82 sen dan RM1.24.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas berkurangan 27.63 mata kepada 12,724.16, Indeks FBM Top 100 menurun 29.74 mata kepada 12,555.37 dan Indeks FBM Mid 70 merosot 27.82 mata kepada 18,107.96.

Indeks FBM Emas Shariah menurun 30.82 mata kepada 12,565.47 manakala Indeks FBM ACE naik 14.05 mata kepada 4,988.73.

Mengikut sektor, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan menurun 1.69 mata kepada 187.05, Indeks Tenaga merosot 3.93 mata kepada 761.79, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 26.69 mata kepada 20,300.95 dan Indeks Perladangan menyusut 5.46 mata kepada 9,283.11. – Bernama