
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka tinggi pagi ini, menjejaki prestasi semalaman Wall Street yang kukuh.
Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 7.65 mata kepada 1,511.47 daripada 1,503.82 ketika ditutup, semalam.
Indeks penanda aras itu dibuka 6.25 mata lebih tinggi kepada 1,510.07.
Bagi keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 211 berbanding 81, manakala 211 kaunter tidak berubah, 1,933 kaunter tidak diniagakan dan 16 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 130.19 juta unit bernilai RM59.74 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata Wall Street ditutup lebih tinggi dengan harapan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump akan menghentikan rancangan pelaksanaan tarif lebih meluas, membolehkan AS mengelak kelembapan ekonomi dan peningkatan inflasi.
“Sementara itu, hasil 10 tahun AS meningkat kepada 4.34 peratus,” katanya kepada Bernama.
Thong berkata FBM KLCI ditutup rendah semalam tetapi berjaya kekal melebihi paras 1,500 kerana penjualan oleh dana asing berterusan dalam persekitaran mencabar ketika ini.
“Prospek kekal hambar kerana volum harian terus berlegar sekitar paras 3.0 bilion saham.
“Memandangkan kekurangan dana baharu, kami percaya indeks akan berlegar dalam julat 1,500 hingga 1,510 lagi hari ini,” katanya.
Antara saham wajaran tinggi, Maybank menambah 8.0 sen kepada RM10.24, CIMB Group meningkat 4.0 sen kepada RM6.96, IHH Healthcare meningkat 3.0 sen kepada RM6.98, Public Bank melonjak 1.0 sen kepada RM4.49, manakala Tenaga Nasional kekal tidak berubah pada RM13.56.
Bagi kaunter aktif, EA Holdings, Borneo Oil, Zen Tech International dan Mestron Holdings tidak berubah masing-masing pada 0.5 sen, 1.0 sen, 1.0 sen dan 25.5 sen.
Dalam pada itu, Wawasan Dengkil, penampilan pertama di Pasaran ACE turun 0.5 sen kepada 24.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 59.38 mata kepada 11,322.47, Indeks FBMT 100 naik 58.24 mata kepada 11,080.83, Indeks FBM Emas Shariah menambah 54.14 mata kepada 11,037.91, Indeks FBM 70 menokok 94.02 mata kepada 16,218.67, dan Indeks FBM ACE naik 9.37 mata kepada 4,751.88.
Dari segi sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 90.02 mata kepada 18,444.07, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian melonjak 0.27 mata kepada 152.32, Indeks Tenaga bertambah 6.15 mata kepada 753.25 dan Indeks Perladangan naik 8.30 mata kepada 7,455.21. – Bernama