
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia meningkat daripada penurunan selama dua hari untuk dibuka tinggi pada Jumaat, disokong oleh sentimen yang bertambah baik susulan langkah Amerika Syarikat (AS) mengurangkan kadar tarif ke atas import dari Malaysia.
Terdahulu, Washington mengumumkan tarif lebih rendah iaitu sebanyak 19 peratus ke atas barangan Malaysia, berkuat kuasa 1 Ogos, 2025.
Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 8.83 mata atau 0.58 peratus kepada 1,522.08 daripada 1,513.25 ketika ditutup semalam.
Indeks petunjuk pasaran itu dibuka 6.62 mata lebih tinggi kepada 1,519.87.
Keseluruhan pasaran adalah positif, dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 200 berbanding 138, manakala 292 kaunter tidak berubah, 1,860 kaunter tidak diniagakan, dan 11 yang lain digantung.
Jumlah dagangan mencecah 244.74 juta unit bernilai RM111.66 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata kadar tarif yang lebih rendah berbanding jangkaan merupakan berita positif bagi Malaysia.
“Kami yakin pelabur akan lebih gembira menerima berita ini justeru, sentimen dijangka bertambah baik, dan kami menyemak semula sasaran FBM KLCI hari ini kepada julat antara 1,510 hingga 1,530 mata,” katanya kepada Bernama.
Pada 7 Julai, Washington mengumumkan AS akan mengenakan tarif 25 peratus ke atas semua produk Malaysia yang dihantar ke negara itu, berasingan daripada semua tarif sektor, berkuat kuasa 1 Ogos, dan angka tersebut merupakan satu peratus lebih tinggi berbanding dengan tarif yang telah diumumkan pada April.
Bagaimanapun, tiada tarif akan dikenakan sekiranya Malaysia, atau syarikat Malaysia, memutuskan untuk membangunkan atau menghasilkan produk di AS.
Sejak April, Malaysia telah berunding dengan Washington mengenai tarif, dengan matlamat untuk mengurangkan tarif 24 peratus yang dikenakan sebelum itu, dengan rundingan terkini telah diadakan pada 18 Jun lepas.
Dalam kalangan kaunter wajaran tinggi, Maybank, Tenaga Nasional dan CIMB masing-masing naik lapan sen kepada RM9.47, RM13.10 dan RM6.63. Public Bank meningkat tiga sen kepada RM4.24, manakala IHH Healthcare menambah satu sen kepada RM6.63.
Bagi saham aktif, TWL naik setengah sen kepada tiga sen, Trive Property dan Top Glove masing-masing kekal tidak berubah pada satu sen dan 68.5 sen, manakala Pharmaniaga dan NexG masing-masing susut setengah sen kepada 17 sen dan 53 sen.
Kaunter paling untung meliputi Malaysian Pacific Industries yang melonjak 60 sen kepada RM20.74, UMS Integration yang mula disenaraikan di Pasaran Utama menambah 29 sen kepada RM5.29, dan Pinehill Pacific meningkat 14 sen kepada 42 sen.
Antara kaunter paling rugi, United Malacca susut 10 sen kepada RM5.25, Unimech turun enam sen kepada RM1.34, dan MSM Malaysia merosot 5.5 sen kepada 96.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas menambah 56.08 mata kepada 11,456.55, Indeks FBMT 100 naik 60.75 mata kepada 11,217.26, Indeks FBM Emas Syariah meningkat 45.96 mata kepada 11,507.63, Indeks FBM 70 menokok 71.58 mata kepada 16,676.19, dan Indeks FBM ACE naik 6.53 mata kepada 4,624.74.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 120.70 mata kepada 17,273.40, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.57 mata kepada 159.71, Indeks Perladangan meningkat 27.75 mata kepada 7,422.79, dan Indeks Tenaga menokok 1.90 mata kepada 750.24.– Bernama