KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka tinggi pagi ini, mengambil petunjuk daripada kenaikan di Wall Street pada Jumaat lepas.
Pada 9.09 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 0.21 mata kepada 1,735.96 daripada 1,735.75 semasa ditutup pada Jumaat lepas.
Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi 0.10 mata kepada 1,735.85.
Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 257 berbanding 111 manakala 355 kaunter tidak berubah, 2,050 tidak diniagakan dan 21 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 227.41 juta saham bernilai RM105.87 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Wall Street ditutup tinggi berikutan penurunan tidak dijangka dalam guna tenaga Amerika Syarikat (AS) pada Julai.
Beliau berkata data guna tenaga yang lebih rendah daripada jangkaan itu mengukuhkan jangkaan pasaran bahawa Rizab Persekutuan (Fed) AS akan mengekalkan kadar faedah pada paras semasa buat masa ini.
“Dalam negara, walaupun ketidaktentuan luaran berterusan susulan perkembangan geopolitik dan harga minyak yang tinggi, aktiviti belian saham pada harga rendah dijangka membantu mengehadkan tekanan penurunan.
“Kami menjangka indeks petunjuk pasaran diniagakan dalam julat 1,730 hingga 1,740 hari ini dengan kecenderungan positif,” katanya kepada Bernama.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan Tenaga Nasional, masing-masing meningkat empat sen kepada RM10.72 dan RM14.40, IHH Healthcare naik tujuh sen kepada RM8.37, CIMB Group dicatatkan pada RM7.94 manakala Public Bank menurun tiga sen kepada RM5.16.
Bagi saham aktif, Dagang NeXchange menambah 2.5 sen kepada 49.5 sen, HHRG naik 1.5 sen kepada 13.5 sen, Nationgate Holdings meningkat sembilan sen kepada RM1.52, Perak Transit menokok 1.5 sen kepada 23 sen dan VS Industry naik setengah sen kepada 24.5 sen.
Allianz Malaysia mendahului senarai kaunter paling untung, dengan meningkat 96 sen kepada RM22.48, UWC menambah 15 sen kepada RM6.70, Kobay Technology menokok 12 sen kepada RM2.58, Pentamaster Corporation meningkat lapan sen kepada RM5.55, Greatech Technology naik tujuh sen kepada RM2.63 dan CPE Technology menambah enam sen kepada RM1.19.
Bagi kaunter paling rugi, Kuala Lumpur Kepong menurun RM1.16 kepada RM21.74, Kim Hin Industry merosot 7.5 sen kepada 85 sen, Kelington dan Telekom Malaysia, masing-masing berkurangan lima sen kepada RM8.73 dan RM7.90 serta YTL Power International menyusut empat sen kepada RM4.65.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 11.92 mata kepada 12,846.17, Indeks FBM Top 100 meningkat 9.10 mata kepada 12,669.30 dan Indeks FBM ACE menambah 14.60 mata kepada 5,094.55. Indeks FBM Mid 70 melonjak 45.54 mata kepada 18,272.06 dan Indeks FBM Emas Shariah naik 22.15 mata kepada 12,685.39.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 1.20 mata kepada 20,417.73, Indeks Tenaga naik 1.58 mata kepada 759.97 serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan menambah 0.47 mata kepada 188.47, bagaimanapun Indeks Perladangan menurun 75.20 mata kepada 9,465.88. – Bernama





