
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka rendah pada Jumaat, seiring penurunan prestasi pasaran serantau berikutan para pelabur kekal dalam mod berhati-hati susulan penutupan berterusan kerajaan Amerika Syarikat (AS).
Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 3.38 mata atau 0.21 peratus kepada 1,626.29 daripada 1,629.67 ketika ditutup pada Khamis.
Indeks penanda aras itu dibuka 1.51 mata lebih rendah pada 1,628.16.
Kedudukan pasaran keseluruhan adalah negatif dengan 195 kaunter rugi berbanding 157 kaunter untung, 311 kaunter tidak berubah, 1,966 tidak diniagakan dan lapan digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 197.41 juta saham bernilai RM95.80 juta.
Pasaran tempatan menjejaki penurunan di pasaran serantau, dengan Nikkei Jepun susut 0.42 peratus kepada 48,376.10, manakala Indeks Hang Seng Hong Kong turun 0.29 kepada 26,752.58.
Bagaimanapun, Indeks Straits Times Singapura kekal tidak berubah pada 4,440.50, sementara itu, Kospi Korea Selatan naik 1.72 peratus kepada 3,610.31.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Wall Street ditutup rendah semalaman berikutan kebuntuan kerajaan AS yang masih berterusan tanpa sebarang tanda penyelesaian.
“Selain itu, kami menjangka dana asing kekal sebagai penjual bersih selepas mencatat aliran keluar bersih besar berjumlah RM878 juta dalam tempoh tiga hari lepas.
“Bagaimanapun, kami percaya dana tempatan sedang menambah pegangan dalam saham tempatan dan penyertaan runcit menunjukkan peningkatan, seperti dapat dilihat daripada peningkatan jumlah dagangan melebihi 4.7 bilion saham semalam,” katanya kepada Bernama.
Dalam kalangan kaunter wajaran tinggi, Maybank susut tiga sen kepada RM9.97, Public Bank turun satu sen kepada RM4.28, CIMB Group berkurangan dua sen kepada RM7.55, manakala Tenaga Nasional kekal pada RM13.28 dan IHH Healthcare naik tiga sen kepada RM8.13.
Bagi saham paling aktif, Top Glove meningkat 1.5 sen kepada 69.5 sen, TWL kekal pada tiga sen, Hartalega naik dua sen kepada RM1.32, manakala Borneo Oil dan Supermax masing-masing menambah setengah sen kepada satu sen dan 51 sen.
Kaunter paling untung termasuk VSTECS yang meningkat 13 sen kepada RM4.19, Hong Leong Financial naik 12 sen kepada RM17, SAM Engineering menambah 11 sen kepada RM4.65, Malaysian Pacific Industries (MPI) meningkat 10 sen kepada RM31.26, dan UWC naik tujuh sen kepada RM4.39.
Sementara itu, kaunter rugi utama termasuk PPB dan United Plantations, masing-masing susut lapan sen kepada RM10.92 dan RM23.62, manakala Vitrox, Apex Healthcare dan Hong Leong Industries masing-masing turun enam sen kepada RM4.48, RM2.41 dan RM14.22.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas berkurangan 21.08 mata kepada 12,160.27, Indeks FBM 100 susut 21.61 mata kepada 11,886.09, dan Indeks FBM Emas Syariah turun 11.56 mata kepada 12,234.55.
Indeks FBM 70 menyusut 18.0 mata kepada 17,235.60, manakala Indeks FBM ACE turun 8.28 mata kepada 5,282.85.
Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.21 mata kepada 174.65, Indeks Perladangan berkurangan 5.62 mata kepada 7,898.83, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 67.31 mata kepada 18,385.54, manakala Indeks Tenaga menokok 2.50 mata kepada 797.46.- Bernama