Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • BISNES
  • Bursa Malaysia dibuka rendah berikutan risiko geopolitik berterusan
  • BISNES

Bursa Malaysia dibuka rendah berikutan risiko geopolitik berterusan

Utusan Sarawak 4 hours ago

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka lebih rendah pada Khamis, dipengaruhi oleh prestasi Wall Street yang lemah dalam persekitaran ketegangan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran yang berterusan, manakala harga minyak mentah kekal tinggi.

Pada 9.15 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 11.65 mata kepada 1,697.13 daripada 1,708.78 ketika ditutup pada Rabu, selepas dibuka 8.09 mata lebih rendah pada 1,700.69.

Pasaran secara keseluruhan mencatat sentimen negatif apabila kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 279 berbanding 148, manakala 266 kaunter tidak berubah, 1,974 tidak diniagakan dan 17 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 251.8 juta saham bernilai RM201.89 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng memberitahu Bernama bahawa ketegangan antara AS dan Iran kekal menjadi tumpuan utama dengan harga minyak mentah meningkat walaupun terdapat perjanjian Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) untuk mengeluarkan 400 juta tong daripada simpanannya.

Ketika berita ini ditulis, minyak mentah Brent telah meningkat 7.49 peratus kepada AS$98.87 setong.

Malacca Securities Sdn Bhd berkata pengeluaran kecemasan terbesar IEA itu mungkin merupakan penyelesaian sementara.

“Iran telah mula memasang periuk api (alat letupan yang diletakkan di atas atau di bawah permukaan tanah atau di dasar/permukaan laut) di Selat Hormuz, manakala Iran dan Israel terus menyasarkan penapis minyak utama masing-masing (sasaran ke Iran dan Israel). Harga minyak kekal tinggi yang berpotensi melambatkan penurunan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed) AS akibat kebimbangan terhadap inflasi,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Bagi Malaysia, firma itu menyatakan bahawa laluan perkapalan yang lebih jauh yang dipaksa oleh periuk api itu mengurangkan bekalan kapal global dan meningkatkan kadar tambang.

“Sentimen pasaran akan terus memihak kepada MISC kerana syarikat perkapalan itu berada dalam kedudukan untuk mengenakan kadar spot lebih tinggi dan memberikan premium risiko perang kepada penyewa,” katanya.

Memandangkan ketidakpastian semasa, Malacca Securities mencadangkan pelabur mungkin menumpukan perhatian kepada sektor pertahanan seperti perbankan, amanah pelaburan hartanah (REIT), dan penjagaan kesihatan.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa bekalan minyak Malaysia kekal stabil, meskipun terdapat potensi gangguan kepada pasaran tenaga global.

Beliau berkata bekalan petroleum domestik mencukupi sekurang-kurangnya sehingga Mei 2026 dan kerajaan sedang memantau perkembangan untuk melindungi kepentingan Malaysia, mengekalkan kestabilan ekonomi, dan menyokong usaha diplomatik untuk keamanan.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, YTL Power International dan Press Metal Aluminium Holdings susut empat sen masing-masing kepada RM2.70 dan RM7.54, Axiata berkurangan satu sen kepada RM2.26, manakala MISC dan CelcomDigi naik satu sen masing-masing kepada RM8.51 dan RM3.21.

Bagi saham aktif, AirAsia X shed turun setengan sen kepada RM1.15, OGX Group berkurangan empat sen kepada 31 sen, manakala Hibiscus Petroleum melonjak lapan sen kepada RM2.28, Hengyuan Refining Company menambah 13 sen kepada RM1.69 dan Lotte Chemical Titan Holdings menokok lima sen kepada 46.5 sen.

Kaunter paling untung menyaksikan Petronas Chemicals Group, naik 35 sen kepada RM4.49; United Plantation, meningkat 26 sen kepada RM31.90; Malaysian Pacific Industries, menokok 22 sen kepada RM30.20; and Petronas Dagangan, melonjak 10 sen kepada RM22.

Kaunter paling rugi pula ialah Nestle, turun 90 sen kepad RM102; Pineapple Resources, susut 22 sen kepada 60 sen; Petronas Gas dan Tenaga Nasional, menguncup 12 sen masing-masing kepada RM17.38 dan RM14.12; dan Hong Leong Bank, berkurangan 14 sen kepada RM22.94.

Di papan indeks, Indeks FBM Top 100 susut 73.69 mata kepada 12,252.71, Indeks FBM Emas turun 71.47 mata kepada 12,412.66, Indeks FBM 70 merosot 55.04 mata kepada 17,107.39, Indeks FBM Emas Syariah berkurangan 32.03 mata kepada 12,131.51 dan Indeks FBM ACE menyusut 45.94 mata kepada 4,358.74.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 255.26 mata kepada 20,548.06, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 1.87 mata kepada 175.31, Indeks Perladangan menambah 25.97 mata kepada 8,408.79 dan Indeks Tenaga meningkat 3.67 mata kepada 777.88.- Bernama

Continue Reading

Previous: Kadar jangka pendek diunjur kekal stabil susulan operasi BNM

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.