
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka lebih tinggi pada hari ini, sekali gus menamatkan penyusutan selama dua hari berturut-turut dan seiring dengan prestasi pasaran serantau yang lebih positif.
Pada 9.05 pagi, Indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 1.96 mata atau 0.13 peratus kepada 1,532.10 daripada penutupan Selasa pada paras 1,530.14.
Indeks penanda aras berkenaan sebelum itu susut 1.14 mata kepada 1,529.0.
Kaunter untung mengatasi rugi iaitu 142 berbanding 94 manakala 221 kaunter tidak berubah, 1,950 tidak didagangkan dan sembilan lain digantung dagangannya.
Jumlah dagangan sebanyak 117.03 juta saham bernilai RM54.19 juta.
Pasaran tempatan juga menjejaki prestasi pasaran serantau dengan Indeks Hang Seng Hong Kong naik 1.09 peratus kepada 24,148.07, Indeks Straits Times Singapura meraih 0.13 peratus kepada 4,053.13, Kospi Korea Selatan menokok 0.09 peratus kepada 3,117.67 namun Nikkei 225 Jepun susut 0.11 peratus kepada 39,645.78.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng, berkata sentimen kekal berhati-hati yang menyaksikan FBM KLCI hanya melepasi paras 1,530 pada julat kecil.
“Kami menjangkakan aktiviti jualan saham ini sekali lagi didorong oleh dana asing yang mula melepaskan pegangan sejak Isnin menjelang berakhirnya tempoh penangguhan tarif hari ini,” katanya kepada Bernama.
Berikutan itu, beliau menjangkakan indeks bergerak dalam julat 1,520 hingga 1,530 di tengah-tengah ketidaktentuan berterusan mengenai tarif.
CIMB Group mendahului saham wajaran tinggi dengan meraih enam sen kepada RM6.67, Sunway meningkat tujuh sen kepada RM4.82, YTL Corporation naik tiga sen kepada RM2.48 manakala anak syarikatnya, YTL Power, menokok dua sen kepada RM4.18.
Maybank sebaliknya susut dua sen kepada RM9.68 manakala Public Bank turun satu sen kepada RM4.33.
Bagi saham aktif, PCMK yang mula disenaraikan di Pasaran ACE, meningkat 1.5 sen kepada 23.5 sen, Pharmaniaga naik satu sen kepada 15.5 sen, Auro menokok setengah sen kepada 17 sen manakala NEXG dan Borneo Oil kekal tidak berubah pada 43.5 sen dan setengah sen.
Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas menokok 22.28 mata kepada 11,490.42, Indeks FBMT 100 naik 22.62 mata kepada 11,260.53 dan Indeks FBM Emas Shariah meningkat 26.29 mata kepada 11,458.73.
Selain itu, Indeks FBM 70 melonjak 69.25 mata kepada 16,607.15 manakala Indeks FBM ACE susut 2.84 mata kepada 4,469.50.
Prestasi sektor menyaksikan Indeks Perkhidmatan Kewangan meraih 5.91 mata kepada 17,619.43, Indeks Perladangan naik 2.89 mata kepada 7,431.81, Indeks Tenaga meningkat 1.61 mata kepada 735.15 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meraih 0.16 mata kepada 153.91.– Bernama