
Pertahanan Newcastle United, Dan Burn, bersama bekas rakan sepasukannya, Alexander Isak (kanan). Foto AFP
LONDON: Pertahanan Newcastle United, Dan Burn, menegaskan dia tidak menyimpan sebarang rasa dendam terhadap bekas rakan sepasukannya, Alexander Isak, biarpun penyerang Sweden itu memaksa perpindahan sensasi ke Liverpool dengan nilai rekod Britain £125 juta (RM744 juta).
Isak, 24, melengkapkan perpindahan dramatik ke juara bertahan Liga Perdana Inggeris pada hari akhir jendela perpindahan musim panas Isnin lalu, selepas khabar angin mengatakan dia enggan beraksi demi merealisasikan hasrat berhijrah ke Anfield.
Kemarahan penyokong The Magpies jelas terasa dengan tindakan penyerang kesayangan mereka itu, namun Burn bersikap lebih realistik.
“Saya sudah cukup lama dalam bola sepak untuk faham kerjaya pemain ini singkat. Mereka ada impian masing-masing. Jadi, bagi saya, saya gembira semuanya sudah selesai,” katanya menjelang aksi kelayakan Piala Dunia England menentang Andorra, esok.
“Alex kawan saya, jadi ia situasi sukar. Sudah tentu saya mahu dia kekal bersama pasukan dan membantu kami, tapi saya faham juga apa yang dia perlu lakukan untuk dirinya sendiri. Saya tak ada apa-apa selain ucapan semoga berjaya untuk Alex.”
Burn bagaimanapun mengakui reaksi penyokong Newcastle yang kecewa adalah sesuatu yang wajar.
“Sebagai penyokong Newcastle, kita memang sangat melindungi kelab dan bandar ini. Kita mahu pemain yang benar-benar mahu bermain untuk kelab. Tapi saya faham kenapa peminat marah,” katanya.
Bagaimanapun, Burn sempat berjenaka mengenai pertembungan akan datang: “Saya doakan yang terbaik buat Alex… kecuali bila dia jumpa Newcastle.” – AFP