SHEILA ZAIDI
Umum mengetahui bahawa Nasi Kerabu merupakan salah satu menu makanan yang cukup sinonim dengan negeri Kelantan.
Malah, ia mempunyai penggemarnya yang tersendiri di seluruh negara dan tidak terkecuali di Bumi Kenyalang ini.
Namun, masih ramai yang tidak mengetahui rahsia ‘kebiruan’ warna nasi ini yang menjadikan menu ini tampak menarik dan menyelerakan.
Bunga Telang juga dikenali sebagai Butterfly Pea adalah ramuan semulajadi yang digunakan untuk menghasilkan warna biru muda pada nasi kerabu.
Ia adalah sejenis pokok kekacang yang memanjat yang mampu tumbuh subur di negara yang mempunyai cuaca yang panas seperti di negara kita.
Bunganya yang biru cantik menjadi hiasan laman rumah jika dijaga dengan elok.
Selain dijadikan sebagai bahan pewarna asli dan perisa makanan, ia sememangnya sangat sesuai dijadikan sebagai pokok hiasan.
Lazimnya bunga telang dibiakkan menggunakan benih dengan bentuk benihnya yang bulat pipih dan mempunyai kulit berwarna hitam.
Tumbuhan ini merupakan sejenis tumbuhan yang menjalar pada pokok lain atau tiang pagar atau kayu sokong yang disediakan oleh penanamnya.
Dalam keadaan liar semulajadi, tumbuhan ini menjalar dengan melilit apa juga tumbuhan disekelilingnya.
Ketinggian pokok ini mampu mencapai sehingga tiga ke empat meter bergantung kepada lilitan pada sokong.
Ia mempunyai kadar pertumbuhan yang sangat cepat sekiranya ditanam di tanah yang subur dan menerima cahaya matahari yang baik.
Tanah yang subur dengan banyak bahan organik dan mempunyai saliran baik sangat sesuai untuk tumbuhan ini.
Bagaimanapun ia kurang sesuai pada tanah yang mudah tenggelam air dan sangat asidik.
Daunnya berbentuk simpel sama ada Epiliptik atau Obtuse dengan warna hijau pada susunan bertentangan.
Bunganya pula keluar dari celah ketiak daun dengan warna biru kuat berukuran empat sentimeter panjang dan tiga sentimeter lebar.
Dibahagian tengah bunga terdapat warna putih kekuningan.
Kajian mendapati terdapat juga varieti bunga telang yang berwarna putih walau pun jarang ditanam dinegara kita.
Kegunaannya dalam pembuatan makanan sebenarnya memberikan pelbagai khasiat selain untuk kelihatan menarik.
Antara khasiat yang terkandung dalam bunga telang ialah mengandungi antioksida yang tinggi.
Bahan antioksida semula jadi ini mampu membantu penyerapan vitamin C dengan lebih efisien untuk membangkitkan kesegaran tubuh badan.
Dalam pembuatan minuman, bunga telang kering juga boleh dijadikan teh biasa seperti teh chamomile yang popular di Amerika Syarikat.
Selain kaya dengan antioksida, ia juga membantu mengekalkan kesihatan jantung dan menjadikan kulit kelihatan bersinar.
Selain minuman teh kosong yang disajikan secara panas atau sejuk dicampurkan bersama madu, halia, pudina atau buah markisa, bunga telang juga sering digunakan dalam koktel, menghias salad, aiskrim dan sup sebagai hiasan untuk kelihatan lebih menarik.
Bunga yang menerima jolokan nama sebagai ‘bunga nasi kerabu’ ini ternyata mempunyai kepelbagaian penggunaan dalam bahan makanan dan minuman disamping mempunyai pelbagai khasiat.
Bagi yang terpesona dengan warnanya pula, bolehlah mula mencari benihnya untuk ditanam di sekitar rumah sebagai tumbuhan hiasan yang akan menaikkan seri laman kediaman.