KUCHING: Bunga Ta’ang berpotensi untuk dibangunkan menjadi produk minyak wangi, aromaterapi, penjagaan kesihatan, pengawet makanan, serta produk penjagaan ayam dan haiwan peliharaan serta racun larva.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Roland Sagah Wee Inn berkata, dalam kalangan masyarakat Bidayuh, Bunga Ta’ang biasanya digunakan untuk merawat penyakit kulit seperti ruam dan gatal-gatal dan sebagai penghalau kutu pada haiwan peliharaan.
“Bunga Ta’ang atau Adenosma nelsonioides (Ade-nos-ma nel-sonio-i-des) ini mempunyai minyak pati yang berharga. Tumbuhan itu juga dikenali sebagai Bangkit Engkerawan dalam kalangan masyarakat Iban di Lubok Antu.
“Analisis makmal oleh Pusat Biodiversiti Sarawak (SBC) menunjukkan bahawa sifat fitokimianya berpotensi untuk dibangunkan untuk beberapa produk seperti minyak wangi, aromaterapi, penjagaan kesihatan, pengawet makanan, serta produk penjagaan ayam dan haiwan peliharaan serta racun larva,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan di sidang Dewan Undangan Negeri, hari ini.
Roland Sagah berkata, selaras dengan usaha untuk melindungi pengetahuan tradisional tempatan mengenai penggunaan flora dan fauna tempatan dalam kekayaan biodiversiti, SBC telah menandatangani Perjanjian Perkongsian Faedah (BSA) dengan komuniti Bidayuh Kampung Semadang, Penrissen dan masyarakat Iban di Rumah Simon, Lubok Antu, untuk bekalan minyak pati Bunga Ta’ang.
“Minyak pati Bunga Ta’ang telah ditanda dagangan oleh SBC dan dikenali sebagai Adenosara. Sebagai permulaan, bekalan mampan 517 liter minyak pati Adenosara sebagai ramuan produk dicapai tahun ini,” katanya.
Beliau berkata, SBC telah melibatkan diri dengan 24 komuniti orang asal di Sarawak dalam program Dokumentasi Pengetahuan Tradisionalnya.
“Ini telah membawa kepada dokumentasi 6,568 tumbuhan yang digunakan secara tradisional dari 111 tapak di seluruh Sarawak,” katanya.
Melalui penglibatan berterusan dengan rakan kongsi tempatan dan antarabangsa, SBC telah menandatangani 18 perjanjian baharu tahun ini.
“SBC juga mempunyai kerjasama dan persefahaman jangka panjang dengan rakan usaha sama Jepun untuk membangunkan alga mikro untuk potensi tenaga boleh diperbaharui termasuk pengeluaran hidrogen, penangkapan karbon dan biofuel.
“Kemudahan yang dibina khas untuk SBC menjalankan penyelidikan di peringkat yang lebih tinggi dan aktiviti pengkomersilan, tapak seluas 100 ekar telah diperuntukkan di Samarahan, sesuai dinamakan sebagai Taman Industri Bio Sarawak,” katanya.
Pembinaan Fasa 1 Taman Industri Bio Sarawak dengan peruntukan RM2 juta akan bermula tahun depan. Pembangunan dan pembinaannya akan dilaksanakan dalam empat fasa sehingga 2035.
“Taman ini akan menawarkan lot kepada pertubuhan penyelidikan dan industri berasaskan bio lain untuk beroperasi,” katanya.
Oleh NUR AIN OTSMAN