
BAU: Kawasan Bung Jagoi di Bau berpotensi untuk dibangunkan sebagai salah satu destinasi pelancongan warisan utama di Sarawak dengan keunikan alam semula jadi dan nilai sejarah penempatan asal yang masih kekal terpelihara.
Menteri Muda Pengangkutan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Datuk Henry Harry Jinep berkata, Bung Jagoi bukan sahaja kaya dengan tarikan semula jadi seperti gunung, gua dan air terjun malah mempunyai kedudukan strategik sebagai kawasan pelancongan yang paling hampir dengan Kuching.
“Bung Jagoi ini merupakan satu-satunya penempatan lama yang masih kekal utuh dan ia harus dipelihara sebagai khazanah warisan untuk generasi akan datang,” katanya ketika merasmikan Program Hari Bung Jagoi 2025 yang berlangsung di Bung Jagoi, hari ini.

Beliau berkata, Daerah Bau memiliki lebih 12 air terjun yang telah dikenal pasti dan sejumlah lokasi pendakian menarik seperti Bung Jagoi, Bung Muan, Bung Bratak dan Singai yang berpotensi menjadi tarikan utama pengunjung tempatan dan luar negara.
“Bau mempunyai pelbagai pilihan untuk aktiviti pelancongan berasaskan alam semula jadi. Anda hanya perlu cari di Google, banyak gunung dan gua menanti untuk diterokai,” tambahnya.
Menurut beliau, bagi memperkasa pembangunan kawasan ini, sebanyak RM3.2 juta telah diperuntukkan di bawah Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching
(GKCDA) bagi menaik taraf infrastruktur asas termasuk bekalan elektrik 24 jam, kemudahan penginapan dan akses jalan perkhidmatan ke kawasan Bung Jagoi.
“Saya percaya dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang, kita akan melihat perubahan besar di sini. Pengunjung akan dapat bermalam dengan selesa, ada bekalan elektrik sepanjang masa, bilik yang lengkap dan jalan yang lebih baik,” ujarnya.

Jelas beliau, pembangunan akan tetap berjalan seiring dengan pemeliharaan warisan asal dan penglibatan komuniti setempat, terutama dalam kalangan anak muda untuk terus menghidupkan Jawatankuasa Pembangunan Kawasan (JADC) dengan idea baharu dan promosi berterusan.
“Jika kita tidak jaga, warisan akan hilang. Maka tanggungjawab kita ialah untuk melindungi dan memastikan ia terus wujud. Kita mahu anak-anak muda turut serta dan membawa semangat baharu,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan bahawa projek Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin Bersepadu (ICQS) Rikin kini telah mula diiklankan untuk proses tender pembinaan dan dijangka menjadi pemangkin kemasukan pelawat dari negara jiran ke daerah Bau melalui pusat sempadan baharu itu.
“Apabila ICQS Serikin dibuka dan Babang bersedia, pelancong akan mula masuk menggunakan pasport. Bau akan menjadi sebuah bandar transit baharu yang pesat dengan kunjungan,” jelas beliau.
Tambahnya, pembangunan akan menyebabkan kawasan menjadi lebih sibuk termasuk kekurangan tempat letak kereta, namun ia adalah lumrah yang perlu dilalui demi kemajuan.
“Kalau tidak berubah, kita akan terus statik. Kita perlu berkorban untuk pembangunan,” tegas beliau.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Bersama (JTPB) serta semua pihak yang terlibat dalam penganjuran program berkenaan termasuk Penggerak Masyarakat Kampung dan Komuniti (PMKK) dan agensi-agensi kerajaan serta masyarakat tempatan.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Ketua Pegawai Eksekutif GKCDA, Datuk Iqbal Hon dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Kawasan Jaga, Profesor Gabriel Torda.
Oleh Shikin Mahmud