KUCHING: Sebuah bumbung bangunan kedai musnah kira-kira 80 peratus dalam satu insiden kebakaran yang berlaku di Blok AE, MJC Batu Kawa di sini, malam tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memaklumkan bahawa sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Lintang, dengan bantuan BBP Kota Sentosa, telah dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira lapan kilometer dari balai selepas menerima panggilan kecemasan pada 10.32 malam.
Pegawai Bomba Kanan I (TBK II) Chaplin Wan yang mengetuai operasi, berkata kebakaran melibatkan timbunan sampah di atas bumbung bangunan rumah kedai kekal.
“Pasukan bomba berjaya memadamkan kebakaran menggunakan satu aliran dua nozel sepanjang 300 kaki yang disambungkan ke pam jentera, dengan sumber air diperoleh dari pili bomba berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan.
Operasi melibatkan dua trak bomba, dan 18 anggota itu mengambil masa satu jam 18 minit untuk mengawal sepenuhnya kebakaran.
Sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) turut berada di lokasi sebagai langkah berjaga-jaga.
Operasi pemadaman ditamatkan sepenuhnya pada 11.50 malam.
Turut berada di lokasi kejadian ialah tiga anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), dan dua anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).