Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • RENCANA
  • Buli siber: Penyakit sosial yang kian menjangkiti kanak-kanak di Malaysia
  • RENCANA

Buli siber: Penyakit sosial yang kian menjangkiti kanak-kanak di Malaysia

Utusan Sarawak 11 hours ago

KUALA LUMPUR:  Kira-kira empat tahun lalu, netizen Malaysia pernah gah di mata dunia atas keberanian  mengganyang  Israel menerusi tanda pagar #IsraelKoyak. 

Digelar “Tentera Bawang” atau “Bawang Rangers”, mereka bukan sahaja bertindak menularkan poster mengecam regim Zionis itu susulan pengeboman ke atas Palestin, malah turut mengasak laman sosial Pasukan Keselamatan Israel (IDF), sekali gus menjana pujian masyarakat global. 

Namun di sebalik keberanian dan kesepaduan warga maya negara dalam menegakkan hak, ada sisi gelap yang semakin membimbangkan apabila segelintir daripada mereka menjadikan media sosial sebagai saluran membuli individu lain.

Perbuatan mereka tidak terbatas kepada orang biasa atau selebriti tempatan, tetapi atlet antarabangsa turut menjadi mangsa, antaranya pelumba basikal Jepun Shinji Nakano. Atlet itu disasarkan dengan komen-komen nista selepas didakwa sengaja menyebabkan pelumba basikal negara  Muhammad Shah Firdaus Sarom terlepas peluang meraih pingat di Sukan Olimpik Paris 2024.

Yang menakutkan, sikap buruk itu dilihat “menjangkiti” kanak-kanak dan remaja di negara ini. Tidak ubah seperti ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi, golongan pengguna media sosial yang masih mentah ini menyasarkan bukan setakat rakan sebaya bahkan ada yang berani menjadikan orang lebih tua sebagai mangsa buli mereka.  

KONON BERGURAU 

Kononnya bergurau, cemuhan dilontar tanpa belas ataupun empati akan perasaan mereka yang disasarkan. Mereka juga tidak memikirkan natijah perbuatan itu ke atas mangsa ataupun diri sendiri. 

“Kawan ejek gambar saya di TikTok. Mereka komen pasal kulit saya, kata saya hitam macam arang dan saya rasa malu sangat,” kongsi Saffiya (bukan nama sebenar), murid berusia 12 tahun kepada Bernama.

Menurut gadis sunti meningkat remaja itu, insiden yang berlaku tahun lepas tersebut menghakis keyakinan dirinya, membuatkan dia murung, enggan ke sekolah, menjauhkan diri daripada rakan, takut menggunakan telefon bimbit selain kerap menangis apabila bersendirian. 

Mujurlah dia mempunyai ibu bapa dan guru yang peka terhadap perubahan dirinya. Dia dibawa berjumpa pakar kaunseling sementara pelaku pula diberi nasihat.

“Walaupun kami budak-budak, hati kami juga boleh terluka. Jangan fikir body shaming (sindir badan) itu lawak,” katanya.

MALAYSIA KEDUA TERTINGGI DI ASIA 

Menurut laporan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), Malaysia di kedudukan kedua tertinggi di Asia bagi buli siber menyusuli China, sementara di peringkat dunia pula, negara disenaraikan sebagai kelima tertinggi selepas Peru, Argentina, Mexico dan Brazil, mencerminkan betapa seriusnya masalah ini di Malaysia.

Kajian syarikat penyelidikan pasaran dan perunding global Ipsos pada tahun lepas, mendedahkan hampir 47 peratus ibu bapa tahu sekurang-kurangnya seorang kanak-kanak dalam komuniti mereka menjadi mangsa, manakala seorang daripada empat ibu bapa percaya anak mereka sendiri pernah dibuli secara siber.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pula berkata mereka menerima 8,339 laporan dan aduan berkaitan buli siber atau 27 kes sehari bagi tempoh Januari hingga 1 Nov tahun lepas.

Statistik ini menunjukkan betapa pentingnya ekosistem dalam talian yang lebih selamat kepada pengguna media sosial diwujudkan.

Sedar akan keperluan itu, kerajaan Malaysia pada November lalu dilaporkan sedang mengambil langkah mengkaji kewajaran mewujudkan satu akta yang dikenali sebagai Akta Anti Buli Siber bagi membendung aktiviti itu daripada terus berleluasa.

BULI MAYA IMPAK LEBIH PARAH

Mengulas permasalahan itu, pensyarah kanan Kulliyyah Sains Kesihatan Bersekutu, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Dr Mohd Nazir Mohd Nazori berkata buli ialah perbuatan yang dilakukan secara berulang kali bertujuan menimbulkan ketakutan, kemarahan atau kesedihan dalam diri mangsa.

“Buli siber lebih berbahaya kerana penggunaan teknologi digital membolehkan maklumat atau imej memalukan tersebar luas kepada ramai dan kekal dalam talian tanpa had masa,” katanya.

Menurut beliau, antara punca remaja menjadi pembuli ialah pengaruh rakan sebaya di samping  keinginan untuk “menyesuaikan diri” dengan kumpulan yang berfikiran sama.

“Banyak tindakan yang dibuat lebih kepada ‘group conformity’… dia hanya menuruti aktiviti kumpulan dan jarang menggunakan akal sendiri untuk menilai sama ada perbuatan yang dilakukannya itu baik atau salah,” jelas beliau kepada Bernama.

Menurut pakar pendidikan kesihatan itu lagi, seseorang pembuli selalunya menampilkan persona berbeza apabila di depan ibu bapa dan ketika bersendirian melakukan aktiviti buli siber.

TANDA-TANDA MANGSA

Mohd Nazir berkata antara petunjuk anak sedang mengalami buli siber ialah kehilangan minat terhadap aktiviti yang dulu menyeronokkan baginya, kecenderungan menyendiri serta ekspresi wajah yang murung selain mempamerkan rasa takut apabila terdengar bunyi notifikasi telefon.

Tegasnya, jika tiada intervensi daripada ibu bapa atau penjaga, mangsa buli berisiko mengalami masalah kesihatan mental.

Untuk membendung kegiatan buli siber pula, beliau berpendapat tindakan mengawal akses anak kepada alam siber semata-mata tidak cukup, sebaliknya perlu bermula dengan pendidikan.

“Kita kena ajar anak kita peranti ini untuk apa… contohnya kalau anak suka melukis, pilih secara bersama-sama (dengan anak) aplikasi yang sesuai dan tengok hasil (kerja anak) seminggu sekali,” kata Mohd Nazir. 

Beliau juga berpandangan kanak-kanak tidak wajar memiliki akaun media sosial kerana belum mempunyai keupayaan memberikan persetujuan termaklum, selain berisiko terdedah kepada bahaya digital, termasuk pelanggaran privasi dan pergaulan dengan individu tidak dikenali.

Senada, Pegawai Psikologi Kanan, Pusat Pusat Perkhidmatan Psikologi dan Kaunseling Universiti Teknologi Malaysia Dr Zulfikar Ahmad berpendapat pemberian peranti pintar harus berdasarkan tahap kematangan anak.

Menurut beliau, ibu bapa tidak sepatutnya mewajarkan pemberian peranti pintar kepada anak atas faktor keselamatan ataupun keperluan pembelajaran.

“Kalau kita pun tak tahu apa aktiviti anak-anak dengan peranti itu, interaksinya dengan siapa… kita sendiri sebenarnya sedang mendedahkan anak kita kepada pelbagai risiko, bukan sekat buli siber,” katanya sambil menasihati ibu bapa agar lebih peka dengan perubahan sikap anak seperti kemurungan dan lain-lain.

HUKUMAN KINI LEBIH TEGAS 

Pada 11 Julai lepas, kerajaan menguatkuasakan pindaan terhadap Kanun Keseksaan (Pindaan) 2025 dan Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2025 yang bertujuan memperkukuh usaha membanteras buli siber melalui peruntukan baharu, iaitu Seksyen 507B hingga 507G. 

Seksyen 507D(2) misalnya, bertujuan memperuntukkan hukuman penjara hingga 10 tahun atau denda, bagi kesalahan komunikasi mengugut, menghina atau mencela yang membawa kepada percubaan bunuh diri akibat provokasi.

Mengulas penguatkuasaan pindaan akta terbabit, Mohd Nazir berkata tindakan penguatkuasaan perlu dilakukan dalam bentuk advokasi dan pendidikan agar masyarakat faham mengapa perbuatan itu salah selain mencetuskan kesedaran natijah buli siber kepada mangsa. 

Zulfikar pula mencadangkan pelaksanaan hukuman berbentuk kerja sosial seperti membersihkan rumah ibadat atau menyertai aktiviti komuniti yang dipantau oleh masyarakat setempat, jika pembuli siber ialah golongan bawah umur atau  masih bersekolah,

“Mereka ini perlu diajar erti tanggungjawab… bukan dihukum sehingga mereka anggap diri mereka jahat, tapi kita nak hukuman itu mampu mendidik supaya mereka dapat berfikir untuk tidak mengulangi,” katanya.– Bernama

Continue Reading

Previous: Serba serbi untung, jangan bingung

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.