POSTER promosi Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022 Peringkat Negeri Sarawak.
KUCHING: Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022 Peringkat Negeri Sarawak bakal dilancarkan pada 13 Ogos 2022 di Tebingan Kuching dan Dewan Undangan Negeri (DUN) oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh Jabatan Penerangan
“Majlis pelancaran ini merupakan kesinambungan Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022 yang telah dilancarkan pada 30 Julai yang lalu oleh Perdana Menteri, Dato Sri Ismail Sabri Yaakob.
“Bertemakan ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’, aktiviti utama yang telah dirangka adalah Berjalan Teguh Bersama Keluarga Malaysia, pelepasan Konvoi Kembara Merdeka Keluarga Malaysia (KMKM2022) dan penyerahan Jalur Gemilang.
“Setelah dua tahun sambutan Bulan Kebangsaan disambut dalam norma baharu akibat pandemik Covid-19 yang melanda negara, program ini diaktifkan kembali dengan mematuhi Standard Prosedur Operasi (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa dalam fasa endemik ini.
“Berjalan Teguh Bersama Keluarga Malaysia akan dipimpin oleh Premier Sarawak berkonsepkan aktiviti berjalan kaki beramai-ramai dalam suasana kekeluargaan, santai dan diraikan dalam suasana yang harmoni sambil mengibarkan Jalur Gemilang.
“Pelepasan KMKM2022 pula berkonsepkan ‘Pass Baton’ yang akan dilepaskan oleh Premier Sarawak dari Dewan Undangan Negeri Sarawak. Konvoi ini melibatkan penyertaan daripada JaPen Sarawak, agensi-agensi di bawah K-KOMM, agensi Kerajaan Persekutuan dan Negeri, rakan strategik JaPen Sarawak dan wakil Komuniti Keluarga Malaysia,”katanya.
Seterusnya, Konvoi KMKM2022 akan meneruskan perjalanan konvoi yang bermula pada 10 Ogos di Kilometer (KM) 0.00, Telok Melano hingga Lawas dan kembara diteruskan ke 37 perhentian di daerah lain melibatkan jarak perjalanan kira-kira 4,025 kilometer sebelum mengakhiri perjalanan konvoi KMKM2022 pada 31 Ogos 2022 di Betong bersempena dengan Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sarawak.
Manakala, pada program pelancaran nanti pelbagai aktiviti menarik di Tebingan Sungai Sarawak turut diadakan dan antaranya Zumba Keluarga Malaysia, permainan Dam Ular Gergasi serta Kuiz.
Orang ramai juga boleh bersama-sama menzahirkan rasa cintakan negara melalui platform media sosial dengan berkongsi gambar berkaitan aktiviti kenegaraan sambil menyertakan hashtag (#) #KeluargaMalaysiaTeguhBersama #TeguhBersama #KeluargaMalaysia #KKOMM #HKHK2022 #Merdeka360 di laman media sosial masing-masing.
Selain itu, pelbagai program menarik yang berunsurkan kenegaraan dianjurkan sepanjang bulan kemerdekaan seperti Pertandingan Klik@Merdeka, Bintang Patriotik Smule, Bintang Patriotik Aspirasi Keluarga Malaysia, Bintang Patriotik RIUH, Mewarna dan Melukis MYDOODLE@Merderka, Pengisahan Kenegaraan, ILHAM Merdeka Tik Tok Challenge dan Sayembara Sajak Merdeka.
“Banyak hadiah menarik menanti peserta untuk dimenangi dan bagi mengetahui maklumat lanjut rakyat Malaysia boleh melayari portal Merdeka 360 termasuk laman Facebook rasmi Jabatan Penerangan Malaysia, Sarawak.
“Ayuh, bersama-sama kita menghargai nilai kemerdekaan, zahirkan rasa cinta kepada negara, utuhkan perpaduan dan kibarkan Jalur Gemilang, Selamat Menyambut Bulan Kebangsaan buat seluruh rakyat Malaysia dan khususnya Negeri Sarawak, kita ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’,”katanya.
Oleh SHAHRUL QAIZAT