KUCHING: Buku Manual Standard Kualiti Pendidikan Prasekolah akan disediakan oleh Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak (KWKPK) pada Januari 2021.
Menteri KWKPK, Dato’ Sri Fatimah Abdullah berkata, Buku Manual Standard ini akan diedarkan kepada setiap Institusi Pendidikan Awal Kanak-Kanak (IPAKK) sejurus proses pemurnian dilakukan.
“Bengan adanya manual tersebut, sedikit sebanyak dapat membantu guru-guru dalam menyampaikan pembelajaran dan pengajaran yang berkualiti,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Sidang Media Hasil Mesyuarat Majlis Pembangunan Awal Kanak-Kanak Sarawak (MPAKS) dan Penyampaian Hadiah Sarawak Preschool Kids Got Talent (SPKGT) 2020 baru-baru ini.
Dalam Majlis SPKGT 2020 yang telah diadakan itu, Penolong Pengarah Kanan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, Norfadillah Hamni mewakili prasekolah yang menjuarai 7 kategori iaitu Pengucapan Awam Bahasa Melayu dan Bahasa Iban, Pertandingan Bercerita Bahasa Inggeris dan Bahasa Iban, Nyanyian Solo Kategori B (5-6 tahun), Pertandingan Melukis dan Mewarna serta Juara bagi Special Talent telah dinobatkan tempat pertama.
Seterusnya, tadika swasta daripada Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak yang menjuarai 6 kategori iaitu Pengucapan Awam Bahasa Inggeris dan Bahasa Mandarin, Tarian Kategori A (4 tahun ke bawah), Tarian Kategori B (5-6 tahun), Mewarna dan Anugerah Khas Juri yang diwakili Pengerusi Pertubuhan Pengusaha Taman Didikan Kanak-Kanak (TADIKA) Sarawak, Jason Kong pula dianugerahkan tempat kedua.
Manakala tempat ketiga pula telah disampaikan kepada wakil Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat Sarawak (KEMAS), Zuraidah Jemeli mewakili KEMAS yang telah menjadi juara bagi nyanyian solo Kategori A(4 tahun ke bawah).
Selebihnya tempat keempat telah disampaikan kepada Pengurus Besar SeDidik Sdn. Bhd, Dr. Nor Ashikin mewakili SeDidik yang menjuarai pertandingan bercerita Kategori Bahasa Melayu.
Menurut Fatimah, objektif utama pertandingan yang dianjurkan adalah untuk mencungkil bakat dan potensi kanak-kanak dalam pelbagai bidang seperti pengucapan awam, bercerita, nyanyian, tarian, mewarna, melukis serta kemahiran istimewa lain yang dimiliki oleh anak-anak.
Turut hadir Menteri Muda Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Datuk Rosey Yunus; Pemangku Setiausaha Tetap KWKPK, Caroline Cleophas Joseph dan Ketua Bahagian Pembangunan Awal Kanak-Kanak KWKPK, Salina Bujang.
Oleh ‘AINI ‘AFIFAH HAFIZ