
SIBU: Sebuah buku yang merakam kisah getir generasi awal pejuang masyarakat dan politik di Sarawak dilancarkan hari ini, dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof menekankan kepentingannya sebagai bahan pembelajaran kepada generasi muda.
Buku bertajuk ‘Secebis Kisah Perjuangan Bangsa; Ikhlasnya Pengorbanan, Indahnya Kemerdekaan’ karya Allahyarham Hamdan Marais atau lebih dikenali sebagai Pak Den itu menghimpunkan pengalaman peribadi, kenangan serta temu bual yang menggambarkan cabaran dilalui tokoh terdahulu dalam membangunkan komuniti.
Menurut Fadillah, kandungan buku tersebut membuka gambaran realiti sukar yang dihadapi generasi awal, termasuk berdepan penghinaan, ancaman dan kehilangan harta benda demi kepentingan masyarakat.
“Perjuangan yang mereka lalui bukan mudah. Ramai berdepan penghinaan, dikejar malah kehilangan harta demi masyarakat. Semua ini dilakukan dengan penuh keikhlasan dan komitmen,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran di sini.
Beliau berkata, penerbitan itu wajar dijadikan rujukan khususnya kepada golongan muda, termasuk mereka yang terlibat dalam kepimpinan masyarakat dan perkhidmatan awam.
Katanya, buku berkenaan turut memperlihatkan ketabahan generasi terdahulu yang kebanyakannya masih muda ketika memikul tanggungjawab besar dalam keadaan sumber terhad.
“Buku ini menunjukkan bagaimana generasi terdahulu berusaha membawa perubahan, memajukan komuniti serta menyatukan masyarakat berbilang latar belakang,” katanya.
Dalam pada itu, Fadillah mengakui proses menghasilkan buku berkenaan bukan mudah kerana banyak kisah tidak didokumentasikan secara sistematik dan hanya tersimpan dalam ingatan individu.
Sebagai sokongan kepada usaha tersebut, beliau mengumumkan sumbangan sebanyak 5,000 naskhah buku untuk diedarkan ke sekolah dan institusi komuniti di seluruh Sarawak.
Katanya, langkah itu bertujuan memastikan generasi muda dapat memahami pengorbanan serta sumbangan yang membentuk masyarakat hari ini.
Beliau turut berharap penerbitan itu menjadi pemangkin kepada lebih ramai penulis dan penyelidik untuk merakam sejarah serta naratif budaya Sarawak secara lebih menyeluruh.
Oleh Tarani Lanting