
KUCHING: Buku ‘Sarawak’s Iconic Businesses’ terbitan Utusan Sarawak boleh menjadi buku rujukan untuk pelabur yang berhasrat untuk melabur di negeri ini.
Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak, Kadir Dikoh berkata ini kerana buku itu memaparkan DNA syarikat yang beroperasi di negeri.
“Buku ini mengisahkan cerita mendalam dan komprehensif mengenai kejayaan perusahaan tempatan, sekali gus memberi inspirasi dan sumber yang amat berharga untuk generasi akan datang.
“Ada yang bermula sebagai entiti kecil atau syarikat berasaskan keluarga atau mengusahakan secara sendirian, yang kemudian muncul sebagai entiti besar di pasaran termasuk di rantau ASEAN.
“Buku ini, kali pertama seumpamanya diterbitkan dalam bahasa Inggeris memaparkan perjalanan syarikat-syarikat yang berpangkalan di Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran buku berkenaan di sebuah hotel terkemuka di sini sebentar tadi.
Majlis pelancaran itu dilakukan oleh Ahli Dewan Negara, Senator Dato Ahmad Ibrahim.
Turut hadir Pengarah Urusan Kumpulan Palmhead Holdings Sdn Bhd yang juga Timbalan Pengarah Urusan Ta Ann Holdings Bhd; Presiden Persatuan Sekolah Rendah Cina Bantuan Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian, Datuk Jonathan Chai dan Pengurus Besar Utusan Sarawak, Ivy Ngo.
Kadir berkata pihak kerajaan menerusi kementerian atau syarikat pelaburannya boleh menggunakan buku itu sebagai rujukan untuk pelabur berpotensi.
Katanya, buku itu juga boleh diedar dan dibawa bersama dalam misi perdagangan ke luar negara.
Malah kata beliau buku ini juga boleh ditempatkan di Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak-Singapura (STATOS), Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak-Brunei (STATOB) dan Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak-Kalimantan.