SIBU: Pemilik lapan unit rumah kedai empat tingkat yang terjejas di Jalan Pahlawan menjelaskan bahawa kerja perobohan masih belum dimulakan kerana struktur bangunan, asas dan cerucuk masih diperlukan sebagai bukti fizikal penting dalam siasatan bagi mengenal pasti punca keruntuhan.
Menurut tiga peguam yang mewakili pemilik rumah kedai terbabit, Boston Ho, Alexander Ling dan Sii Yew Nei, pemilik bangunan telah melantik sebuah syarikat perunding kejuruteraan, Geospec, pada Mac 2026 dengan menanggung sendiri kos bagi menjalankan siasatan bebas dari aspek struktur, geoteknikal dan keadaan bawah permukaan tanah.
“Perobohan secara tergesa-gesa boleh memusnahkan bukti yang diperlukan untuk menentukan punca keseluruhan deretan rumah kedai itu mengalami kegagalan struktur yang begitu serius.
“Geospec telah mengenal pasti beberapa isu berkaitan keadaan tanah di kawasan sekitar serta kemungkinan berlakunya pergerakan tanah dari luar yang memerlukan siasatan lanjut.
“Bagaimanapun, siasatan tersebut masih belum selesai,” jelas Boston pada sidang media di pejabatnya, hari ini.
Boston berkata, siasatan itu dijalankan dalam dua peringkat, iaitu peringkat pertama melibatkan siasatan tanpa musnah, termasuk pemeriksaan tapak, dokumentasi struktur, siasatan tanah dan bawah permukaan, pemantauan serta analisis kejuruteraan.
Katanya, kerja tersebut perlu dilaksanakan sebelum perobohan kerana tindakan merobohkan bangunan secara tergesa-gesa boleh memusnahkan bukti fizikal yang penting.
“Peringkat kedua akan dijalankan semasa proses perobohan terkawal. Apabila bahagian tertentu struktur dan asas telah didedahkan dengan selamat, Geospec akan menjalankan pemeriksaan, mengambil sampel serta menguji cerucuk, rasuk, tiang dan papak yang dipilih.
“Perkara ini menjelaskan mengapa kerja perobohan belum dimulakan dan mengapa siasatan teknikal masih diteruskan,” ujarnya.
Boston berkata, pihaknya telah secara rasmi meminta Majlis Perbandaran Sibu (MPS) menyediakan rekod teknikal serta sejarah pembangunan asal, kerja cerucuk, pembinaan jalan, kawasan tempat letak kereta, sistem perparitan, kerja penambakan, pembaikan dan penyelenggaraan yang dilaksanakan di kawasan berhampiran sejak beberapa tahun lalu.
Katanya, rekod tersebut diperlukan bagi membolehkan Geospec membandingkan penemuan di tapak dengan kerja-kerja terdahulu sebelum menjalankan penilaian menyeluruh terhadap kemungkinan punca keruntuhan.
“MPS mula-mula mengeluarkan notis pada 19 Februari 2026 yang menghendaki pemilik melantik profesional, mengemukakan laporan penilaian struktur serta melaksanakan kerja pemulihan atau perobohan yang diperlukan.
“Peringatan terakhir pula dikeluarkan pada 27 Julai 2026 yang menghendaki laporan profesional berkaitan serta pelan tindakan yang dicadangkan dikemukakan.
“Pemilik memahami dan menghormati tanggungjawab MPS dalam memastikan keselamatan awam, selain menghargai kerjasama pihak majlis yang membenarkan Geospec memasuki tapak dan memberikan masa untuk menjalankan siasatan,” katanya.
Menurut Boston, kes itu bersifat luar biasa dan kompleks. Justeru, kerjasama erat antara MPS, Kerajaan Sarawak, pemilik bangunan dan Geospec amat diperlukan bagi memastikan siasatan dapat diselesaikan secara menyeluruh.
“Hasil siasatan ini penting bukan sahaja kepada pemilik, malah kepada orang ramai, khususnya pemilik hartanah dan penduduk di kawasan Jalan Pahlawan serta Sungai Merah,” katanya.
Beliau berkata, pemilik bercadang meneruskan kerja perobohan secara terkawal dengan penyelarasan bersama Geospec supaya bukti struktur dan asas yang masih ada dapat dipelihara serta diperiksa dengan sewajarnya.
Boston turut memaklumkan bahawa firmanya akan mengemukakan satu cadangan bertulis rasmi kepada kerajaan Sarawak dan pihak berkuasa berkaitan dalam masa terdekat, termasuk kepada Setiausaha Kerajaan Sarawak, Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, MPS serta agensi berkaitan yang lain.
“Cadangan tersebut mengandungi empat bentuk bantuan.
“Pertama, Kerajaan Sarawak dan MPS dimohon menjalankan serta membiayai siasatan, kerja kejuruteraan, pembaikan dan pembinaan semula jalan awam, kawasan tempat letak kereta, sistem perparitan serta infrastruktur awam berkaitan yang terletak di atas tanah kerajaan dan berada di bawah kawalan serta penyelenggaraan pihak berkuasa.
“Kedua, Kerajaan Sarawak dimohon membantu dan memudah cara pemilik mendapatkan pakej pembiayaan khas bagi pembinaan semula dan pemulihan melalui institusi kewangan yang sesuai, termasuk AFFIN Bank, Development Bank of Sarawak atau institusi kewangan lain yang berkaitan.
“Ketiga, satu pasukan petugas antara agensi atau mekanisme sehenti dicadangkan ditubuhkan bagi menyelaras dan mempercepatkan kelulusan berkaitan perancangan, tanah, bangunan, infrastruktur, keselamatan serta permit pendudukan yang diperlukan untuk pembinaan semula tanpa menjejaskan keperluan teknikal atau perundangan.
“Keempat, pelantikan perunding profesional, kontraktor perobohan dan kontraktor pembinaan semula dicadangkan kekal menjadi budi bicara pemilik, tertakluk kepada kelulusan, pengesahan dan keperluan kawal selia pihak berkuasa berkaitan,” katanya.
Boston menegaskan bahawa pemilik tidak meminta bayaran tunai tanpa syarat atau menggesa kerajaan menerima liabiliti undang-undang sebelum siasatan selesai.
“Ini merupakan cadangan yang praktikal, sah di sisi undang-undang dan munasabah bagi membantu pemilik merobohkan, membiayai serta membina semula hartanah mereka dengan selamat selepas berlakunya bencana luar biasa ini.
“Pemilik juga mengekalkan semua hak undang-undang dan akan mempertimbangkan tindakan sewajarnya sekiranya siasatan lengkap mengenal pasti, berdasarkan bukti yang mencukupi dan boleh dipercayai, sebarang punca luaran atau pihak yang bertanggungjawab.
“Buat masa ini, keutamaan adalah untuk melengkapkan siasatan, mendapatkan rekod berkaitan, memelihara bukti yang masih ada, melaksanakan perobohan secara selamat dan terkawal serta mewujudkan laluan yang realistik ke arah pembinaan semula,” katanya.
Oleh Akun Giman




