SPAOH: Kerajaan Sarawak memperkukuh tahap kesiapsiagaan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Saban bagi menghadapi cuaca panas dan kering berterusan, termasuk kemungkinan fenomena El Niño yang dijangka memberi kesan mulai Oktober depan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pengurusan bekalan air kini menjadi keutamaan bagi memastikan keperluan asas penduduk terus terjamin sepanjang tempoh berkenaan.
Menurutnya, perkara itu dibincangkan bersama Ahli Parlimen Betong Dato Dr Richard Rapu, Ketua Kaum dan Ketua Masyarakat (KMKK) Bukit Saban serta jabatan berkaitan dalam satu pertemuan semalam.
Dialog khas itu turut membabitkan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Bahagian Betong dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bahagian Betong bagi memperincikan langkah segera menangani gangguan bekalan air.
“Sekarang nampaknya bekalan air juga tergugat. Jadi kita perlu bersiap siaga menghadapi keadaan yang terus panas dan kering,” katanya selepas mempengerusikan Dialog Khas Bersama KMKK, JBALB dan JKM di Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Bukit Saban, semalam.
Uggah berkata, Pejabat Residen dan Pejabat Daerah turut memainkan peranan penting dalam menyelaras bantuan kepada penduduk yang berdepan masalah bekalan air.
Katanya, penghantaran bekalan air akan dilaksanakan dalam tempoh 12 jam selepas permohonan diterima, selain penyediaan air mineral dan kenderaan bagi memastikan bantuan sampai ke kawasan yang memerlukan.
“Bagi kebajikan, kita menentukan bekalan air cukup, bekalan air botol (mineral) dan juga kenderaan untuk menghantar air,” katanya.

Sebagai langkah bantuan segera, JKM Bahagian Betong setakat ini telah membekalkan sebanyak 45,000 kotak air mineral kepada penduduk yang terjejas akibat kekurangan bekalan air.
Sementara itu, JBALB Bahagian Betong merancang menyalurkan bekalan air mentah ke beberapa kawasan susulan penutupan Loji Rawatan Air Lichok dan Loji Rawatan Air Spaoh.
Beberapa buah lori bersama tenaga kerja akan digerakkan bagi memastikan bekalan air dapat disalurkan secara berterusan kepada penduduk yang memerlukan.
Pada masa sama, Uggah berkata Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) turut memantau situasi bekalan air di seluruh Sarawak melalui bilik operasi bagi mengenal pasti kawasan yang mengalami kekurangan air dan menyelaras bantuan dengan segera.
Katanya, langkah bersepadu itu penting bagi memastikan penduduk tidak terputus bekalan air bersih sekiranya keadaan cuaca panas dan kering berlarutan dalam tempoh akan datang.
Oleh Adi Safarman




