SPAOH: Pembangunan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Saban kini memasuki fasa baharu apabila kerajaan mengalihkan tumpuan kepada pemerkasaan ekonomi rakyat susulan kejayaan menyediakan sebahagian besar infrastruktur asas di kawasan itu.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pendekatan berkenaan selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang memberi penekanan kepada peningkatan pendapatan rakyat, pewujudan peluang pekerjaan serta pertumbuhan ekonomi yang mampan.
Beliau berkata, menerusi Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA), setiap kawasan DUN di Bahagian Betong diperuntukkan sehingga RM200 juta bagi melaksanakan projek pembangunan berdasarkan keperluan dan keutamaan setempat.

“Setiap DUN menerima peruntukan sehingga RM200 juta dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) diberi ruang menentukan projek yang benar-benar diperlukan oleh rakyat di kawasan masing-masing.
“Bagi Bukit Saban, sebahagian besar infrastruktur asas kita hampir selesai. Masih ada beberapa projek yang perlu disempurnakan, tetapi kini fokus utama ialah memperkukuh kegiatan ekonomi kerana kita sudah mempunyai kemudahan strategik seperti Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) Bebuling dan Pusat Pengumpulan, Pemprosesan serta Pembungkusan (CPPC),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melakukan lawatan ke Program MOBILE OOOHAAA Sarawak Activation Tour di Dewan Serbaguna Spaoh, dekat sini semalam.
Menurut Uggah yang juga ADUN Bukit Saban, selepas penyediaan jalan raya, jambatan dan kemudahan utiliti, kerajaan kini memberi penekanan kepada pembangunan sektor pertanian, penternakan dan industri agromakanan sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi luar bandar.
Katanya, pembangunan STOLport Bebuling bersama Agropark seluas sekitar 700 hektar yang dilengkapi CPPC bakal menjadi pemangkin kepada pembangunan industri agromakanan di Bukit Saban dengan mewujudkan rantaian nilai yang lebih berdaya saing.
“Matlamat kita bukan sekadar membina jalan raya atau kemudahan asas. Infrastruktur ini perlu menjadi pemangkin kepada peningkatan pendapatan rakyat.
“Dengan wujudnya STOLport, Agropark dan CPPC, petani serta penternak bukan lagi hanya menjual hasil mentah, sebaliknya berpeluang memproses, membungkus dan memasarkan produk yang mempunyai nilai tambah,” jelasnya.
Beliau berkata, kemudahan itu akan membolehkan hasil pertanian tempatan dikumpulkan, diproses dan dibungkus secara lebih sistematik sebelum dipasarkan ke pasaran yang lebih luas, sekali gus meningkatkan daya saing serta nilai komersial produk keluaran tempatan.
Dalam pada itu, Uggah berkata projek Jambatan Batang Lupar II yang sedang dibina akan menjadi antara pemangkin utama pembangunan Bahagian Betong menerusi pengukuhan jaringan perhubungan, peningkatan kecekapan logistik serta pembukaan lebih banyak peluang ekonomi dan pelaburan.
Katanya, apabila jambatan itu siap kelak, masa perjalanan dari Sri Aman, Saratok dan Betong ke STOLport Bebuling akan menjadi lebih singkat, sekali gus memudahkan penghantaran hasil pertanian, mengurangkan kos logistik serta memperkukuh rantaian bekalan bagi menyokong pembangunan sektor agromakanan di Bukit Saban.
“Pembangunan infrastruktur telah menyediakan asas yang kukuh kepada kemajuan Bukit Saban. Kini, tumpuan kita ialah memastikan kemajuan itu diterjemahkan kepada peningkatan pendapatan, lebih banyak peluang ekonomi dan kesejahteraan rakyat melalui sektor pertanian, penternakan serta agromakanan,” katanya.
Oleh Adi Safarman





