
SPAOH: Kawasan Bukit Saban dijangka kembali meriah dengan penganjuran Festival Makanan dan Sukaneka Bukit Saban yang bakal berlangsung pada Sabtu ini di Rumah Panjang Mendit Unsu, Penom, Ulu Paku, Spaoh.
Bagi memastikan kelancaran penganjuran program tersebut, satu Mesyuarat Penyelarasan Jawatankuasa Pengelola telah diadakan di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah Kecil Spaoh.
Mesyuarat berkenaan dipengerusikan oleh Ketua Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Bukit Saban, Natasha Nasa Uggah dan turut dihadiri Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Roseline Mapong Sabai.

Mesyuarat tersebut bertujuan menyelaras peranan setiap jawatankuasa yang terlibat dalam penganjuran program bagi memastikan semua persiapan dilaksanakan secara teratur dan berkesan.
Antara aktiviti yang dirancang bagi memeriahkan program berkenaan termasuk pertandingan memasak, pertandingan pangka gasing serta pertandingan tarik tali yang dijangka menarik penyertaan masyarakat setempat.
Selain itu, beberapa kaunter perkhidmatan turut disediakan kepada orang ramai termasuk daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Sarawak Service bagi memudahkan penduduk mendapatkan maklumat serta perkhidmatan berkaitan.
Program berkenaan juga akan menampilkan Jualan Rahmah serta pelbagai gerai jualan makanan dan kraftangan tempatan yang memberi peluang kepada usahawan kecil mempromosikan produk mereka.
Penganjuran Festival Makanan dan Sukaneka Bukit Saban itu diharap bukan sahaja mampu memeriahkan suasana komuniti, malah dapat mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan penduduk di kawasan DUN Bukit Saban.
Turut hadir, wakil daripada beberapa agensi kerajaan termasuk Jabatan Pertanian Betong, Balai Bomba dan Penyelamat Betong, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sri Aman, Sarawak Service Centre Betong, Pejabat Kebajikan Betong serta Pusat Khidmat DUN Bukit Saban.
Oleh Adi Safarman