Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • RENCANA
  • Bukan sedikit yang masih mengharap
  • RENCANA

Bukan sedikit yang masih mengharap

Utusan Sarawak 3 weeks ago
PENDUDUK Kampung Sim Sim dinasihatkan agar sentiasa peka terhadap perubahan cuaca dan segera berpindah jika diperlukan, selain memaklumkan kepada pihak berkuasa bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini susulan kemungkinan berlakunya luruan angin. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, baru-baru ini mengingatkan semua pihak supaya bersiap siaga menghadapi kemungkinan luruan angin di pantai timur Sabah, khususnya di daerah Sandakan dan Lahad Datu, selepas fenomena itu melanda pantai barat. Foto BERNAMA

SAAT kita jatuh, ada yang masih menunggu kita bangkit. Namun, percayalah jatuh bukan tanda tamat. Ia hanya tanda kita perlu bangkit dengan cara yang lebih bijak, lebih kuat dan lebih ikhlas.

Dalam hidup, kita tidak terlepas daripada rasa lelah, kecewa, malah putus asa. Ada yang sudah berusaha bertahun-tahun tetapi hasilnya masih samar-samar.

Ada pula yang diuji dengan kehilangan, kegagalan atau luka yang dalam.

Di sebalik setiap kejadian yang menguji kehidupan kita, ada yang sedang menunggu kita kembali mantap dan kukuh iaitu anak-anak, pasangan, keluarga, masyarakat, bahkan diri kita sendiri. Inilah sebabnya kita tidak boleh berhenti.

Maka, lahirlah sebuah pesanan daripada penulis agar kita terus B.A.N.G.K.I.T. Akronim bangkit ini sebagai dorongan untuk kita kembali kepada fitrah sebagai insan yang berguna di dunia.

B – BERNAFAS Sekali Lagi

Kadangkala kita terlalu penat sehingga mahu menyerah diri dan kalah oleh godaan kekecewaan. Tetapi setiap kali kita menarik nafas, itu tandanya Allah masih memberi peluang kedua. Nafas baru adalah ruang untuk azam baru.

Walaupun letih, teruskan perjuangan. Jangan mensia-siakan peluang yang datang bermula dari setiap pagi ketika mata kita mula terbuka. Ingatlah, satu nafas bererti satu peluang lagi untuk kita memperbaiki hidup ini. Masih banyak amanah hidup kita belum selesai dilaksanakan.

A – AMANAH Belum Selesai

Hidup kita dipenuhi amanah sebagai ibu bapa, anak, sahabat, pekerja atau pemimpin. Amanah itu bukan sekadar tugas, tetapi harapan yang dipertanggungjawabkan kepada kita. Ada orang yang masih bergantung kepada kita. Ada harapan yang belum tertunai.

Jangan berhenti selagi amanah itu belum selesai. Amanah itu bukti kepercayaan dan bukan sekadar bebanan.

Kita harus peka semua ini dan niatkan semula perjuangan untuk meneruskan kehidupan ini dengan lebih mantap lagi.

N – NIATKAN Semula Perjuangan

Kadang kita hilang arah kerana niat sudah tersasar. Kita terlalu sibuk mengejar pujian atau harta, hingga lupa tujuan asal kehidupan kita.

Aturlah kembali niat kita. Bila niat kita pada landasan yang lurus dan ikhlas, tenaga akan terasa luar biasa.

Keikhlasan menjadikan hal yang kecil terasa bermakna dan perjuangan yang berat terasa ringan.

Niat kita adalah enjin perjuangan. Justeru, betulkan niat, maka langkah seterusnya akan lebih bermakna. Kita juga perlu gagahkan hati kita walaupun masih terasa luka.

G – GAGAHKAN Hati Walaupun Luka

Tiada seorang pun yang berjaya tanpa luka kerana luka itu adalah saksi bahawa kita pernah berjuang melawan cabaran hidup.

Luka bukan semata-mata tanda kelemahan, tetapi bekas keberanian yang menunjukkan kita tidak pernah menyerah ketika diuji.

Setiap kesakitan, kegagalan dan air mata yang kita lalui adalah sebahagian daripada proses yang membentuk ketabahan hati serta kekuatan jiwa.

Justeru, apabila kita melihat kembali luka itu, kita akan menyedari bahawa ia bukan sekadar beban, tetapi anugerah yang mematangkan kita, mendidik kita supaya lebih berhati-hati, lebih bersyukur dan lebih kuat untuk melangkah ke hadapan.

Tanpa luka, tiada kisah perjuangan, tanpa perjuangan, tiada makna sebenar kepada sebuah kejayaan.

Jangan tunggu sembuh baru mahu bergerak. Bergeraklah walau dengan hati yang berdarah. Luka hari ini akan menjadi parut yang membuktikan kita pernah bertahan.

Ingatlah, kekuatan bukan tiada luka, tetapi tetap melangkah walau terluka. Inilah tanda kesungguhan yang mempamer cahaya kehidupan kita.

K – KESUNGGUHAN Itu Cahaya

Kesungguhanlah yang membezakan orang yang berjaya dengan yang hanya bermimpi. Mimpi tanpa kesungguhan hanyalah angan-angan kosong yang hilang ditelan masa, tetapi dengan kesungguhan, setiap langkah kecil akan membawa kita semakin hampir kepada impian yang besar.

Orang yang bersungguh akan tetap berusaha walau terjatuh, tetap melangkah walau penat dan tetap percaya walau diuji berkali-kali.

Kesungguhan menjadikan hati teguh, fikiran jelas dan tindakan konsisten, hingga akhirnya kejayaan tidak lagi sekadar cita-cita, tetapi realiti yang tercapai dengan izin Allah.

Bila bersungguh-sungguh, kita akan sanggup bangun lebih awal, bertahan lebih lama dan tidak mudah goyah serta kalah.

Kesungguhan ibarat cahaya yang menembusi gelapnya cabaran. Hasil mungkin lambat, tetapi kesungguhan pasti menyinari akhirnya kerana ia datang dari hati yang ikhlas sebagai tenaga jiwa kental.

I – IKHLAS Itu Tenaga Jiwa

Keikhlasan adalah rahsia paling besar. Bila hati ikhlas, tenaga tidak akan cepat habis kerana setiap usaha dilakukan tanpa mengharapkan pujian atau balasan manusia, sebaliknya semata-mata kerana Allah.

Dengan ikhlas, beban terasa ringan, kerja menjadi ibadah dan cabaran dirasa sebagai peluang untuk mendekatkan diri kepada-Nya.

Hati yang ikhlas melahirkan jiwa yang tenang, fikiran yang lapang dan semangat yang tidak mudah luntur walaupun berdepan pelbagai rintangan.

Inilah sumber kekuatan yang sebenar, yang membuatkan seseorang mampu bertahan lebih lama, berbuat lebih banyak dan memberi usahanya dengan sepenuh jiwa.

Ikhlas menjadikan usaha itu ringan, walaupun cabaran berat. Ikhlas menjadikan kita tenang walaupun hasil belum tiba.

Ikhlaslah kerana ia tenaga jiwa yang tidak kelihatan, tetapi dapat dirasai. Kita akan terus melangkah dan tidak mengalah walau dalam apa keadaan sekalipun.

T – TERUS Melangkah, Jangan Mengalah

Akhirnya, semua ini akan sia-sia jika kita berhenti di tengah jalan. Jalan mungkin panjang, berliku dan melelahkan.

Tetapi setiap langkah kecil hari ini adalah benih untuk kejayaan esok. Kita jangan membandingkan diri kita dengan orang lain, kerana setiap orang mempunyai jalan hidup, ujian dan rezeki yang berbeza.

Membandingkan diri hanya akan membuat hati resah dan melemahkan semangat, sedangkan hakikatnya Allah SWT telah menetapkan bahagian masing-masing dengan penuh keadilan dan hikmah.

Kita hendaklah terus melangkah dengan irama sendiri kerana langkah itu lebih bermakna apabila seiring dengan kemampuan dan tujuan hidup kita.

Jangan risau jika perjalanan kita lebih perlahan, yang penting kita tetap bergerak dan tidak berhenti.

Percayalah, selangkah demi selangkah, kita akan sampai ke destinasi yang ditakdirkan untuk kita dan pada saat itu kita akan lebih menghargai setiap titisan peluh, setiap pengorbanan, serta setiap doa yang pernah kita panjatkan di sepanjang perjalanan.

Itulah indahnya hidup, bukan pada siapa yang lebih cepat, tetapi pada siapa yang lebih teguh menamatkan perjalanan.

B.A.N.G.K.I.T. bukan sekadar akronim, ia adalah seruan untuk hati yang sedang rapuh. Bernafas sekali lagi, penuhi amanah, niatkan semula perjuangan, gagahkan hati, teruskan dengan kesungguhan, ikhlaskan jiwa dan jangan pernah berhenti melangkah.

Ingatlah, bukan sedikit yang masih mengharap kita terus kuat. Hari ini mungkin sukar, tetapi esok mungkin hari yang kita nanti-nantikan.

Jangan berhenti di sini. Bangkitlah, kerana hidup ini masih banyak yang menunggu kita untuk berjuang.

Wallahu ‘alam Bissawab

Continue Reading

Previous: Cik Ning kreatif hasilkan hampir 100 jenis produk berasaskan batik
Next: Eksklusif: Projek bebola terumbu, semai harapan baharu ekosistem laut pesisir

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.