AHLI Parlimen Pasir Gudang di Johor, Hassan Abdul Karim menulis panjang lebar 18 perenggan dalam hantaran di Facebooknya Isnin lalu, bertajuk ‘Ujian dan cabaran terhadap kelangsungan sistem Persekutuan di Malaysia. Beliau antara lain mencoretkan bahawa Persekutuan Malaysia yang akan berusia 61 tahun pada September 2024 sejak penubuhannya pada 1963 kini sedang diuji ketahanannya iaitu ujian lebih besar daripada isu 3R (raja, agama dan kaum) atau isu penyelarasan subsidi diesel bersasar.
Ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu juga menyentuh mengenai tuntutan Sarawak dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bermula dengan perubahan nama jawatan Ketua Menteri Sarawak ditukar kepada Premier Sarawak iaitu satu usaha simbolik bahawa Sarawak bukannya sebuah negeri tetapi sebuah wilayah dalam tiga wilayah yang membentuk Persekutuan Malaysia iaitu Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak.
Sambungnya lagi: “Sarawak dengan pantas telah menubuhkan syarikat minyaknya sendiri bernama PETROS bagi menggantikan peranan PETRONAS di Sarawak. Tindakan-tindakan lain Sarawak yang dilihat mencabar kuasa Kerajaan Persekutuan ialah antaranya penolakan Sarawak terhadap sistem digital yang dipanggil PADU, dan secara unilateral Sarawak mengisytiharkan penggunaan meluas bahasa Inggeris di Sarawak dan juga hak melaksanakan dasar-dasarnya sendiri dalam bidang pendidikan termasuklah berkenaan program DLP (Program Dwibahasa) di sekolak-sekolah di Sarawak.
“Keberanian Sarawak mencabar kuasa Kerajaan Persekutuan di Putrajaya diikuti rapat dengan langkah sama oleh Sabah dalam isu tuntutan 40 peratus hasil cukai yang dipungut di Sabah perlu dikembalikan ke Sabah seperti yang tertulis dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963.
“Keberanian kerajaan-kerajaan negeri bersuara dalam hal menuntut hak mereka adalah berpunca antara lainnya kerana Kerajaan Persekutuan yang dilihat sekarang ini adalah lemah dan mudah rapuh seperti pokok tiada teras atau manusia tiada tulang belakang,” kata Ahli Parlimen itu.
Beberapa jam selepas itu, Ketua Setiausaha Politik Premier Sarawak, Fazzrudin Abdul Rahman menempelak Ahli Parlimen Johor itu dengan menegaskan bahawa Sarawak dan Sabah tidak pernah mencabar kuasa Kerajaan Persekutuan apabila menuntut beberapa perkara untuk kepentingan rakyat dua wilayah ini.
Katanya, apa yang dituntut oleh Sabah dan Sarawak selama ini bukanlah perkara baharu kerana ia dibuat berlandaskan kepada apa yang termaktub di dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan semua pihak harus sedar, tanpa perjanjian itu tidak mungkin wujudnya sebuah negara bernama Malaysia.
RUJUK IGC 1962 DAN MA63
“MA63 sudah pun dirujuk sebagai instrumen perlembagaan di dalam Perlembagaan Persekutuan dan ini membuktikan betapa pentingnya perjanjian itu dalam menentukan hak dan kedudukan Sabah dan Sarawak di dalam Persekutuan Malaysia. Semua perkara yang dituntut adalah hak yang sewajarnya berdasarkan perjanjian asal dan Perlembagaan Persekutuan,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong itu dalam satu kenyataan.
Felo Penyelidik, Institut Pengajian Borneo, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Prof. Madya Stanley Bye Kadam Kiai, bersetuju dengan kenyataan Fazzrudin bahawa Sarawak tidak mencabar kuasa Kerajaan Persekutuan.
“Ini semata-mata meminta Kerajaan Persekutuan mengiktiraf dan memperakui hak dan keistimewaan Sarawak seperti dipersetujui dalam Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) 1962 dan dinyatakan dalam MA63.
“IGC adalah dokumen asas dalam pembentukan Malaysia kerana ia memperakukan Laporan Suruhanjaya Cobbold yang menggariskan perlindungan diminta oleh Sarawak, selain membentuk asas bagi merumuskan MA63,” kata bekas pensyarah kanan Program Kajian Politik dan Pemerintahan, UNIMAS itu kepada penulis.
Menurut Stanley Bye, dakwaan bahawa Sarawak mengambil kesempatan terhadap Kerajaan Persekutuan yang lemah adalah tidak benar kerana Sarawak telah menyuarakan isu laporan IGC dan MA63 sudah sekian lama.
Katanya, Sarawak sudah lama bersabar dan kesabaran itu mungkin hilang dan sebab itu apabila Sarawak membuat tuntutan lebih kuat dan konsisten terhadap Kerajaan Persekutuan berdasarkan dokumen itu, ada orang kata tindakan itu mencabar Putrajaya. Pengerusi Pusat Kajian Pembangunan, Sosial dan Persekitaran UKM, Prof Dr Novel anak Lyndon pula berkata tindakan Sarawak itu bukan mencabar kuasa persekutuan.
JANGAN GUNA SEBAGAI ISU POLITIK
“Tetapi apa yang dituntut adalah hak seperti terkandung dalam MA63. Malaysia dibentuk apabila Kerajaan Pusat bersetuju terhadap syarat dikemukakan oleh Sabah dan Sarawak. Jika syarat ini tidak dipersetujui ketika itu, saya berpendapat agak sukar untuk Malaysia ditubuhkan.
“Saya tidak bersetuju dengan kenyataan bahawa Sarawak mengambil kesempatan terhadap kelemahan dan sikap rapuh Kerajaan Persekutuan. MA63 adalah perjanjian bagi membentuk sebuah negara. Ini perlu difahami oleh semua warganegara Malaysia. Ia tidak seharusnya diguna sebagai isu politik.
“MA63 adalah berasaskan unjuran politik bahawa Sabah dan Sarawak akan lebih maju dan membangun jika mereka bersetuju untuk bersama membentuk Malaysia. Apakah unjuran ini benar-benar berlaku? Jawapannya tidak. Keadaan ini menyebabkan rakyat Sarawak menuntut janji dan hak yang sudah dipersetujui dalam pembentukan Malaysia menerusi perjanjian MA63,” katanya ketika dihubungi.
Fazzrudin turut menjawab isu minyak, pendidikan dan penggunaan bahasa Inggeris seperti dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Pasir Gudang itu. Menurut Fazzrudin, isu minyak dan penubuhan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS), juga adalah berlandaskan kepada undang-undang yang ada pada Sarawak seperti Ordinan Perlombongan Minyak (OMO) 1958 dan Ordinan Pengagihan Gas 2016.
“Justeru, tuntutan berkaitan dengannya adalah hak Sarawak yang sah di sisi undang-undang. Begitu juga dalam soal pendidikan dan penggunaan bahasa Inggeris di Sarawak. Perkara itu sudahpun termaktub dalam Perenggan 17 IGC 1962,” katanya.
Dr Novel yang juga bekas Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UKM, bersetuju dengan pendapat ADUN Tupong itu kerana penggunaan bahasa Inggeris sudah disemadikan dalam laporan IGC 1962.
Pada masa sama katanya, situasi sekarang jelas menunjukkan Kerajaan Persekutuan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim amat menghormati dan mengiktiraf hak dan janji seperti termaktub dalam MA63 untuk Sabah dan Sarawak.
- Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak.