SINGAPURA: Singapura berkemungkinan akan mengambil ‘pendekatan langkah demi langkah’ dalam pembukaan semula sempadan dengan Malaysia, kata Menteri Hal Ehwal Luar, Dr. Vivian Balakrishnan.
Menurut laporan Channel News Asia (CNA), Dr. Balakrishnan memaklumkan bahawa ia termasuk langkah melaksanakan ujian saringan Covid-19 dan pengesanan kontak.
“Saya tidak melihat kemungkinan untuk mempunyai satu penyelesaian ‘big bang’, tiada batasan, tiada sekatan, tiada ujian (pendekatan) – saya fikir itu tidak bijak.
“Namun, kita boleh membuka mengikut langkah, mempunyai pendekatan sesuai untuk menyaring orang dan mengesan kontak kerana apabila membukanya, risiko (jangkitan) pasti akan meningkat,” katanya.
Dr. Balakrishnan berkata demikian kepada hos, Diana Ser, dalam program CNA ‘In Conversation’ yang disiarkan, pada Selasa.
Ditanya bila perjalanan antara Singapura dengan Malaysia boleh disambung semula, katanya, beliau akan ‘teragak-agak untuk meletakkan satu garis masa’ sambil menambah bahawa pihak berkuasa kedua-dua pihak perlu menyelesaikan banyak perincian berhubung perkara itu.
“Kami perlu menyelesaikan soal protokol berkenaan serta memastikannya efektif di kedua-dua belah tambak. Justeru beri kami beberapa, saya akan katakan, hari hingga minggu,” katanya.
Menjelaskan lanjut, Dr. Balakrishnan berkata, antara pertimbangan utama ialah kesihatan awam.
“Kami perlu melindungi kesihatan awam Singapura dan juga Malaysia, serta memahami bahawa lintasan darat yang paling sibuk di dunia ialah antara Johor dengan Singapura… oleh itu, kami perlu menyelesaikan banyak perincian.
“Ketika ini… ada dokumen dan panggilan telefon saling dibuat, kami sedang berusaha menyelesaikan perkara berkenaan,” katanya.
Dalam pada itu, Dr. Balakrishnan memaklumkan, Singapura dan Malaysia bekerjasama secara ‘amat berkesan’ ketika pandemik Covid-19.
“Ada banyak interaksi, panggilan telefon serta persidangan video pada setiap masa siang dan malam, pada semua peringkat kepimpinan, dan komunikasi berkenaan sangat berguna serta telah membantu membina kepercayaan,” katanya. – AFP