
PETALING JAYA: Kerajaan akan mengumumkan kadar kuota tambahan BUDI MADANI RON95 (BUDI95) kepada pemandu e-hailing sepenuh masa dalam tempoh terdekat, kata Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican.
Beliau berkata penambahbaikan itu dibuat selepas mengambil kira rayuan daripada pemandu dan data penggunaan yang dikemukakan oleh pihak penyedia perkhidmatan e-hailing kepada kerajaan.
“Kerajaan telah berjumpa dengan platform e-hailing bersama dengan pihak Kementerian Pengangkutan untuk melihat tahap kecukupan dari segi had kelayakan untuk pihak e-hailing dan terdapat persetujuan dasar untuk menambah baik tahap kelayakan.
“Penambahbaikan itu akan diumumkan dalam masa terdekat dan akan berkuat kuasa pada November juga,” katanya kepada pemberita pada Business Conference on: 2026 National Budget, SST & International Trade Updates di sini hari ini.
Ia dianjurkan oleh Malaysian Institute of Economic Research (MIER).
Pada 13 Oktober lepas, kerajaan telah mengumumkan kenaikan had siling kelayakan bulanan BUDI95 kepada pemandu e-hailing sepenuh masa kepada 600 liter sebulan dan memanfaatkan hampir 58,000 pemandu e-hailing.
Dalam pada itu, Johan menegaskan kerajaan tidak bersetuju dengan gesaan pihak tertentu supaya kerajaan mengambil langkah atau pendekatan yang lebih drastik untuk mengurangkan defisit fiskal negara.
Katanya langkah ini berikutan tinjauan ekonomi untuk tahun depan dilihat lebih sederhana berbanding tahun ini.
“Sehubungan itu, kerajaan berpandangan perlu diimbangi usaha kita untuk terus memperkukuh kedudukan fiskal dengan peranan penting kerajaan dalam memberi sokongan fiskal yang mencukupi bagi aktiviti ekonomi,” katanya.
-BERNAMA