Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • BUDI95: 300 liter cukup bagi kegunaan biasa, kata Ketua Setiausaha Perbendaharaan
  • NASIONAL

BUDI95: 300 liter cukup bagi kegunaan biasa, kata Ketua Setiausaha Perbendaharaan

Utusan Sarawak 8 hours ago
DATUK Johan Mahmood Merican. Foto BERNAMA

PUTRAJAYA: Berdasarkan data kerajaan, kuota subsidi petrol sebanyak 300 liter yang disediakan di bawah program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) mencukupi untuk kegunaan peribadi biasa, kata Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican.

Johan menekankan bahawa, berdasarkan data berkenaan, sebanyak 95 peratus rakyat Malaysia menggunakan tidak lebih daripada 180 liter sebulan.

Menurutnya apabila kerajaan menetapkan kelayakan subsidi petrol sehingga 300 liter sebulan, data statistik menunjukkan bahawa kurang daripada 0.7 peratus rakyat Malaysia menggunakan lebih daripada 300 liter untuk kegunaan peribadi.

“Sebenarnya, rakyat Malaysia secara individu hanya menggunakan purata kira-kira 80 liter sebulan. Setakat ini, data yang kami peroleh menunjukkan (kuota itu) mencukupi, tetapi kami akan terus memantau keadaan,” katanya dalam temu bual eksklusif dengan Bernama baru-baru ini.

Berdasarkan data penggunaan sebenar BUDI95 dalam tempoh dua minggu pertama Oktober 2025, kurang daripada 0.1 peratus rakyat Malaysia yang layak telah menghabiskan kuota subsidi 300 liter masing-masing.

Menurutnya jumlah itu adalah kecil, oleh itu masih terlalu awal untuk menyimpulkan bahawa kuota 300 liter itu tidak mencukupi.

Johan menekankan bahawa sekiranya kuota itu dinaikkan, tindakan berkenaan mungkin membuka ruang kepada lebih banyak ketirisan subsidi petrol termasuk aktiviti penyeludupan oleh penduduk tempatan.

“Apabila dianalisis, golongan yang telah menggunakan sepenuhnya kuota itu termasuk mereka yang mengisi petrol di negeri-negeri sempadan.

“Daripada jumlah pengguna yang telah memanfaatkan 300 liter ini, lebih 80 individu yang hanya mempunyai lesen motosikal telah menghabiskan kuota 300 liter ini.

“Ini menunjukkan bahawa mereka menggunakan motosikal lebih 500 kilometer setiap hari dalam tempoh dua minggu pertama Oktober,” kata Johan.

Program BUDI95 telah dilaksanakan secara berperingkat sejak 27 September yang menyaksikan semua rakyat Malaysia berumur 16 tahun ke atas, mempunyai MyKad dan lesen memandu yang aktif, layak menikmati subsidi petrol RON95 pada kadar RM1.99 seliter, dengan kelayakan bulanan sehingga 300 liter.

Johan berkata sistem BUDI95 memperlihatkan prestasi yang baik setakat ini dengan purata hampir tiga juta transaksi setiap hari.

Lebih 12 juta rakyat Malaysia telah membeli petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter menerusi sistem BUDI95.

Penjimatan Disalurkan Kepada Pembangunan dan Kesejahteraan Rakyat 

Sementara itu, Johan menegaskan bahawa kerajaan akan menyalurkan anggaran penjimatan fiskal sebanyak RM2.5 bilion daripada rasionalisasi subsidi petrol RON95 melalui program BUDI95 kepada perbelanjaan pembangunan dan inisiatif kebajikan.

Beliau berkata pendekatan subsidi bersasar yang diguna pakai oleh kerajaan bukan semata-mata langkah untuk mengurangkan kos tetapi untuk memastikan dana awam digunakan dengan lebih cekap bagi memenuhi keutamaan pembangunan negara.

Mengulas selanjutnya, beliau berkata isi rumah Malaysia hanya menyumbang kira-kira 78 peratus daripada penggunaan RON95 berdasarkan data yang dikumpulkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia.

“Daripada 18 bilion liter yang digunakan pada setiap tahun, terdapat hampir empat bilion liter yang bukan digunakan oleh isi rumah, berkemungkinan digunakan oleh syarikat, warga asing atau sebahagiannya diseludup keluar.

“Oleh itu, 20 peratus inilah yang menyumbang kepada penjimatan. Sekiranya kita ambil 20 peratus daripada subsidi RON95 sebanyak RM20 bilion yang ditanggung oleh kerajaan pada 2023 dan 2024, anda akan meraih penjimatan kira-kira RM4 bilion berdasarkan harga minyak yang lebih tinggi,” katanya.

Sehubungan itu, kerajaan dijangka menjimatkan kira-kira RM2.5 bilion setahun berdasarkan harga minyak semasa tahun ini iaitu kira-kira AS$60 setong (AS$1 = RM4.23).

Johan berkata pendekatan subsidi bersasar ini pada akhirnya akan memperlihatkan bahawa kerajaan melaksanakan pengurusan fiskal yang bertanggungjawab, yang pastinya akan membantu memberikan keyakinan kepada pelabur.

“Oleh itu, kerajaan sedang mengimbangi antara pengurusan fiskal yang bertanggungjawab dan memastikan sokongan fiskal yang mencukupi kepada ekonomi bagi menyokong momentum pertumbuhan ekonomi, menjana peluang perniagaan serta membantu menyediakan pekerjaan dan peluang pendapatan kepada rakyat,” kata beliau.

-BERNAMA

Tags: Nasional

Continue Reading

Previous: Lebih 13,000 haiwan divaksin, cegah rabies di Malaysia
Next: Salah guna MyKad: JPN perkukuh sistem pengesahan identiti

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.