
PUTRAJAYA: Kerajaan menetapkan had kelayakan asas sehingga 200 liter sebulan bagi individu yang layak di bawah program BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel), dengan kuota itu boleh digunakan secara fleksibel untuk pembelian diesel atau RON95 bersubsidi mengikut keperluan masing-masing.
Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pendekatan itu memastikan subsidi diberikan kepada penerima yang layak berdasarkan penggunaan sebenar mereka tanpa mengira sama ada bahan api yang digunakan ialah diesel atau RON95.
Beliau berkata, langkah itu juga memberi fleksibiliti kepada penerima untuk mengurus penggunaan bahan api mereka mengikut keperluan bulanan masing-masing.
Amir Hamzah berkata, bagi pemilik persendirian kenderaan diesel jenis pikap dan jip yang layak, tambahan 100 liter sebulan boleh dipohon, menjadikan jumlah kelayakan sehingga 300 liter sebulan bagi kategori itu.
“Ini dijangka mencukupi kerana dianggarkan 95 peratus pengguna diesel menggunakan kurang daripada 300 liter sebulan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Amir Hamzah berkata, kemudahan tambahan kelayakan itu disediakan untuk membantu keperluan tambahan, terutamanya golongan peniaga perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan juga mereka yang berulang-alik dari kawasan pedalaman.
Beliau berkata, setiap pemilik kenderaan diesel berdaftar dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan mempunyai cukai jalan yang sah akan menerima kuota asas 200 liter secara automatik tanpa perlu membuat pendaftaran.
Menurut Amir Hamzah, kuota berkenaan boleh digunakan untuk pembelian diesel bersubsidi pada harga RM2.10 seliter mulai Julai ini.
Pemilik kenderaan diesel persendirian boleh menyemak status kelayakan dan had kelayakan bulanan secara dalam talian melalui portal rasmi BUDI MADANI di www.budimadani.gov.my bermula hari ini manakala pemilik kenderaan diesel jenis pikap dan jip yang layak juga boleh membuat permohonan tambahan 100 liter sebulan menerusi portal yang sama.
Amir Hamzah berkata, selain pemilik kenderaan diesel persendirian, kemudahan BUDI Diesel untuk membeli diesel bersubsidi pada harga RM2.10 seliter melalui penggunaan MyKad turut dipanjangkan kepada golongan seperti pengusaha bot sungai dan pemilik genset di kawasan pedalaman.
“Sehubungan dengan itu, Kerajaan Persekutuan bekerjasama erat dengan Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak bagi memastikan keterangkuman liputan diesel bersubsidi untuk rakyat,” katanya.
Amir Hamzah berkata, tiada kos infrastruktur baharu untuk pelaksanaan BUDI Diesel memandangkan semua stesen minyak yang melaksanakan BUDI RON95 boleh terus menggunakan sistem sedia ada.
Beliau berkata, hanya penyesuaian perisian diperlukan untuk membolehkan pengguna memilih diesel atau petrol.
Dalam perkembangan lain, Amir Hamzah berkata, bekalan bahan api negara kekal mencukupi susulan kerjasama berterusan dengan Petronas dan syarikat-syarikat minyak bagi memastikan keperluan dalam negara tidak terjejas.
Beliau berkata, syarikat minyak sentiasa membuat pembelian bekalan secara berterusan bagi tempoh dua bulan ke hadapan, sekali gus membolehkan bekalan diesel negara berada pada tahap stabil.
“Pendekatan pembelian secara bergilir (rolling) itu memastikan negara tidak berdepan risiko kekurangan bekalan bagi tempoh terdekat.
“Kita tidak perlu risau mengatakan minyak hanya cukup sampai Ogos. Syarikat minyak sentiasa membeli untuk dua bulan ke depan dan seterusnya meneruskan pembelian untuk dua bulan ke depan,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan juga terus bekerjasama dengan pemain industri bagi mempelbagaikan sumber bekalan minyak negara.
Turut hadir, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Johan Mahmood Merican. – Bernama