KABONG: Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Leman Kabong dan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua Kabong bergabung bagi menjayakan Majlis Khatam al-Quran bagi meraikan pelajar tahun enam, pada tahun ini.
Kira-kira 102 pelajar terdiri daripada 90 orang dari SK Abang Leman Kabong dan 12 daripada SJK Chung Hua Kabong terlibat pada majlis yang diadakan di Masjid Assabirin Kabong, semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir memuji amalan perarakan usungan pada acara itu kerana ia merupakan satu tradisi turun temurun yang diamalkan oleh masyarakat pesisir Sarawak, khususnya di Kabong telah didedahkan kepada pelajar di peringkat sekolah rendah lagi.
“Usaha membawa amalan usungan ke pengetahuan umum seperti ini harus mendapat pujian kerana masih terdapat masyarakat di luar sana terutamanya generasi muda yang belum pernah kenal akan budaya unik ini.
“Sedikit sebanyak ia terus mempromosikan keunikan Kabong khasnya, dan Sarawak amnya kepada umum. Malahan budaya dan amalan ini boleh memberi kesedaran kepada masyarakat akan keunikan dan nilai estetika yang ada pada amalan usungan ini,” katanya.
Chee Kadir berkata adalah menjadi tanggungjawab bersama dalam memastikan tradisi dan amalan unik yang terdapat dalam masyarakat direkodkan dan dipromosikan kepada umum.
“Salah satunya adalah melalui amalan usungan ini dan program sebegini dapat memastikan kelestarian amalan dan tradisi ini dapat dinikmati oleh generasi masa hadapan.
“Kerancakan pembangunan dan kecanggihan teknologi masa kini harus diiringi dengan usaha-usaha untuk mengekal dan memperkenalkan amalan dan tradisi yang semakin pupus khususnya di kalangan golongan muda,” katanya.
Dalam pada itu, sebanyak 15 usungan telah menyertai pertandingan kali ini bermula di Town Square Kabong dan berakhir di Masjid Assabirin, Kabong.
Oleh ADI SAFARMAN