
KUCHING: Budaya pengurusan kewangan yang berhemah, telus dan strategik terus diperkasakan bagi memastikan pembangunan negeri ini dapat dilaksanakan secara mampan serta memberikan impak langsung kepada rakyat.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, asas kepada tadbir urus kewangan yang baik bermula dengan mengenal pasti sumber dana sebelum ia diagihkan secara seimbang kepada tiga komponen utama, iaitu penggunaan, pelaburan dan simpanan.
“Jika kita patuhi prinsip ini, kita berada di landasan betul. Kalau gagal, masalah akauntabiliti kewangan akan berlaku, dan selalunya berpunca daripada kebocoran dalam proses,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan majlis perasmian Persidangan Transformasi Kewangan Sektor Awam (PSFTC) 2025, di sini, hari ini.
Tambah beliau, Sarawak wajar mencontohi pendekatan negara-negara Nordic seperti Finland, Sweden dan Norway yang berjaya membangunkan ekonomi masing-masing, meskipun berskala kecil, menerusi pengurusan kewangan negara yang cekap dan berstrategi.
“Norway misalnya, walaupun hanya mula teroka minyak dan gas selepas kita, mereka kini negara kaya kerana mereka tahu urus hasil dengan betul. Kita pula masih bergelut sejak 1910,” ujarnya.
Menurut beliau, kerajaan Sarawak telah mengambil langkah proaktif dengan menubuhkan Dana Kekayaan Masa Depan Berdaulat Sarawak sebagai simpanan jangka panjang demi kesejahteraan masa depan negeri.
Selain itu, kerajaan turut memastikan hasil negeri seperti cukai dan pendapatan daripada sektor minyak diagih semula menerusi dasar-dasar yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.
“Inilah yang saya sebut sebagai proses ‘re-engagement’, di mana dasar kita mesti ada kesan langsung kepada kehidupan rakyat,” tegasnya.
Persidangan yang bertemakan ‘Strengthening Public Finance for a Sustainable Future’ itu menjadi platform penting untuk memperkukuh tadbir urus kewangan sektor awam melalui perkongsian ilmu, dialog dan input daripada pakar-pakar berkaitan.
Turut hadir Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri-Menteri Sarawak, Ketua Audit Negara, Dato’ Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi, Ketua-ketua Jabatan serta tetamu jemputan lain. -UKAS