Setiap 1 Syawal adalah hari meraikan kemenangan umat Islam apabila berjaya berpuasa selama sebulan dalam bulan Ramadan. Kemenangan umat Islam selepas menempuh ujian dahaga dan lapar, melawan nafsu dan membina akal dan fikiran yang lebih sihat . Usaha melawan nafsu makan di siang hari, nafsu keinginan pelbagai termasuk nafsu syahwat, tamak haloba, hasad dengki, sombong dan pelbagai lagi tingkah laku tidak sihat pada fizikal dan mental.
Situasi dianggap sebagai peperangan nafsu jahat dan buruk dan manusia dilatih untuk melawannya dengan berpuasa. Selepas 30 hari berjaya melawan nafsu ini dan kembali kepada sifat asal manusia dan menyerah diri kepada Tuhan dengan seluruh jiwa raga kepada Maha Esa. Detik-detik Hari Raya dinantikan oleh umat Islam tanpa mengira kecil, besar, etnik, kaya dan miskin semuanya menyambut hari berbahagia ini. Hari kemenangan ini sebenarnya disambut pada bulan Syawal dan 1 Syawal ialah hari pertama yang diraikan dengan solat sunat, bertakbir meraikan hari kemenangan umat islam.
Tradisi dan Modenisasi
Pada ketika ini, sambutan ini dimodenkan dengan jamuan aneka lauk dan kuih-muih, hiasan rumah, berpakaian baharu walaupun yang dipentingkan adalah perubahan minda dan jiwa umat ke arah yang lebih baik, suci dan semakin taat kepada perintah Allah Taala. Bermaaf-maafan diikuti dengan budaya ziarah-menziarahi dan ditambah lagi perkara yang bukan dituntut agama tetapi pengaruh agama lain, seperti bertuntung pelita atau hiasan lampu raya turut diadakan bagi memeriahkan lagi suasana.
Sambutan Hari Raya berulang, sebab itu maksud Aidilfitri adalah gabungan dua perkataan, iaitu aid dan fitr. Aid berasal daripada aud bererti dirayakan setiap kali Syawal menjelma dan banyak hikmah dan nikmat dikurniakan kepada yang menjayakan keraian kemenangan Ramadan dan sambutan Syawal. Makna fitr pula bermakna fitrah, iaitu membawa kesucian kepada umat yang sepanjang Ramadan berusaha membersihakan jiwa dan fikiran serta tindakan bagi mengembalikan diri kepada fitrah atau kesucian dengan banyak memohon ampun, bertaubat, menginsafi dan juga melalui amalan ibadah puasa sepanjang Ramadan.
Walaupun dalam agama Islam pentingnya kesederhanaan meraikan Aidifitri, namun Hari Raya sudah menjadi budaya popular dengan tokok tambah komersialisasi seperti membeli dan membakar mercun, bermain meriam buluh di kampung tanda kegembiraan. Membeli-belah dan mahukan serba baharu pada Hari Raya Aidilfitri. Hal sedemikian ini menyebabkan kesesakan pusat membeli-belah meskipun negara berada pada paras berbahaya kerana pandemik Covid-19.
Budaya mudik di Indonesia atau Malaysia dikenali sebagai budaya balik kampung berlaku menjelang Hari Raya kerana masing-masing mahu merayakan Aidilfitri di kampung asal masing-masing bersama keluarga dan sanak saudara. Makan dan minum berterusan manakala menjelang pilihan raya juga makan minum juga disediakan di pondok kempen bagi meraih sokongan.
Pilihan Raya
Pilihan raya pula lazimnya diadakan setiap 5 tahun apabila penggal pemerintahan Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri berakhir. Hari Raya dikira mengikut hisab atau kiraan dan melalui melihat anak bulan atau rukyah untuk menentukan tarikh Hari Raya oleh pegawai agama yang dipertanggungjawab oleh Majlis Raja-Raja.
Pilihan raya pula dikira akan berlaku selepas tarikh sidang dewan pertama diadakan. Namun, apabila banyak pergolakan politik berlaku, atau parti pemerintah berasa yakin akan menang, maka mereka akan menentukan tarikh paling sesuai untuk diadakan tarikh pilihan raya, termasuk penamaan calon, tempoh berkempen dan tarikh mengundi. Namun, di negara maju seperti di United Kingdom atau Amerika Syarikat, tarikh pilihan raya sudah lama ditentukan bagi memastikan pertandingan yang lebih saksama dan tidak mengambil kesempatan kelemahan lawan mereka.
Maka, rakyat akan merayakan demokrasi dan pilihan raya bermaksud pilihan untuk meraikan kebebasan memilih, menentukan dan membuat keputusan yang memberikan impak kepada kehidupan mereka dalam tempoh 5 tahun. Bermakna menjadi tanggungjawab kepada rakyat untuk menentukan pilihan yang mereka benar-benar mahu, walaupun berdepan berisiko yang diberikan amanat atau dipillih rakyat berkhianat dengan melompat parti atau tidak memenuhi keperluan sebenar yang dikehendaki oleh rakyat seperti tidak bersuara di Parlimen, tidak peka dengan masalah di kawasan dan hanya kemaruk mendapat kuasa dan kedudukan sahaja.
Budaya Popular
Dalam tradisi pilihan raya, terdapat bentuk pesta-pestaan yang ditokok tambah oleh kepentingan semasa parti dan rakyat ketika itu. Di sinilah wakil rakyat mengambil hati rakyat cuba bergotong royong bersama rakyat, wakil rakyat kerap berfoto dengan pengundi khususnya pengundi warga emas, mengendong bayi anak pengundi mereka, dan pula mengadakan konsert besar-besaran di kawasan mereka dan menjemput artis-artis terkenal untuk menghiburkan pengundi mereka akan terus berasa gembira dan menyokongnya sebagai wakil rakyat.
Sama seperti Hari Raya, ketika pilihan raya ziarah-menziarahi saudara, kawan dan penyokong parti juga berlaku. Ketika Hari Raya, biasanya golongan kanak-kanak bebas pergi ke rumah beraya dan dengan harapan mendapat sampul duit raya. Menjelang pilihan raya wakil rakyat dan juru kempen juga bebas berkunjung dari rumah ke rumah dengan harapan dapat meraih sokongan dan kemungkin yang diziarahi mendapat sumbangan sedikit wang dan barangan keperluan sebagai tanda terima kasih.
Bagi parti yang mempunyai dana besar, mereka sanggup iklankan parti-parti mereka di dada akhbar. Mungkin ramai masih ingat ketika menjelang pilihan raya umum 2018, ketua-ketua syarikat berkaitan kerajaan turut berkempen halus dengan menyanyi beramai-ramai lagu “Hebatnya Negaraku’. Antara penyanyi utama kumpulan tersebut kini ialah Menteri Kewangan Malaysia, iaitu Tengku Zafrul dan ini menunjukkan hubungan di antara politik dan industri pop tidak dapat dipisahkan untuk meraih sokongan pengundi.
Politik Pesta-Pestaan
Dalam konteks negara Asia Tenggara, semacam satu keharusan yang tinggi menuntut wakil rakyat pandai menghiburkan pengundi dengan menyanyi berkaraoke bersama penyokong parti dan pengundi. Ketika inilah pengundi berpeluang bersama-sama pemimpin mereka, bergembira dan menyambut pilihan raya diadakan. Tujuannya adalah untuk meraih undi dan mahu berasa dekat dengan rakyat. Di sinilah orang politik berbelanja membuat pelaburan politik. Parti besar dengan skala besar perbelanjaan manakala parti kecil dengan skala kecil merayakan demokrasi dana bersaing mendapat tempat dan kedudukan. Pilihan raya merupakan sumber pendapatan sampingan kepada jurukempen politik, ahli parti dan pengundi turut berasa bahang pilihan raya dengan mendapat wang sagu hati, baju parti, cenderamata percuma, malah kadangkala atap zink boleh dapat percuma daripada calon wakil rakyat yang baik hati.
Jurukempen sibuk mempromosikan jenama politik untuk diraih sokongan, sama seperti jurujual peniaga ketika bulan Ramadan sibuk mempromosikan barang jualan mereka dengan pelbagai tawaran untuk menggandakan keuntungan. Ramai peniaga mengambil kesempatan asalkan mendapat untung, peluang amal ibadah terabai, manakala dalam pilihan raya ramai oportunis politik mengambil kesempatan dengan menjanjikan bulan dan bintang, namun apabila mendapat kemenangan tanpa malu pula menyatakan bahawa ‘manifesto pilihan raya bukanlah kitab suci’!