PILIHAN Raya Negeri (PRN) Johor 2022 baru selesai. Keputusannya pun telah diketahui umum. Parti yang menang sudah pasti mula mendabik dada, manakala yang kalah pula membuat penilaian semula. Semasa tempoh sebelum atau prapilihan raya berkenaan, bahangnya sedikit sebanyak menambahkan kehangatan situasi negara yang dilanda penularan pandemik Covid-19. Dari hari ke hari, melalui televisyen, media sosial, di dada akhbar, warung-warung, malah di mana-mana sahaja, isu ini hangat diperkatakan. Dalam masa yang singkat, kebanyakan daripada kalangan masyarakat umum menjadi insan politik. Hal yang sedemikian ini mengingatkan penulis akan kata-kata Plato, iaitu at a touch of love, everyone becomes a poet.
Biarpun dalam konteks ini isunya berbeza, namun wujud persamaannya dari sisi sikap manusia apabila berhadapan dengan sesuatu isu yang mampu menjentik nubari atau emosi. Manusia mudah terdorong untuk “menghadirkan diri” dalam kancah atau arena berkenaan. Lantaran itu, tidak hairanlah seandainya apabila tarikh pilihan raya semakin hampir, munculnya ramai “penganalisis politik segera”, ibarat cendawan tumbuh selepas hujan.
Senario sedemikian amat lazim, bukan sahaja di negara kita, malah di negera-negara lain di seluruh dunia. Pilihan raya pasti menarik minat warganya, tanpa mengira ras, profesion, agama, pendirian, apatah lagi sokongan. Amat jarang-jarang sekali warga dewasa mana-mana negara, yang waras dan sihat dari segi fizikal, tidak mengambil kisah langsung tentang isu politik. Di sesetengah negara, politik malah menghadirkan rusuhan, bantahan, pertelingkahan dan tunjuk perasaan dalam kalangan warganya. Secara tuntasnya, saat dan ketika inilah masyarakat umum dikatakan menjadi “peka politik”.
Namun, sejauh manakah sikap ini mempamerkan pemahaman yang mendalam tentang bidang politik dari aspek ilmiahnya serta tautannya dalam pembangunan sesebuah negara? Sejauh manakah kematangan, khususnya masyarakat negara ini, dalam pelontaran idea dan pendapat dalam arena perdebatan politik? Sejauh manakah emosi mempengaruhi rasional semasa berhujah tentang isu politik?
Sebelum kita cuba untuk merungkai jawapan bagi persoalan tersebut, ada baiknya difahami terlebih dahulu takrifan istilah politik. Mengikut Kamus Dewan, edisi keempat, dihuraikan tiga takrifan, iaitu ilmu pengetahuan tentang cara pemerintahan, ilmu siasah, ilmu kenegaraan; segala sesuatu berkenaan pemerintahan sesebuah negara dengan negara lain; dan kelicikan, muslihat, tipu muslihat. Manakala Kamus Merriam-Webster pula memberikan lima takrifan, iaitu the art or science of government; political actions; a political affair or business especially competitions between especially competing interest groups or people for power and leadership; a political opinion or sympathies of a person; dan a total complex of relations between people living in a society.
Daripada takrifan oleh kedua-dua buah kamus berkenaan, dapat disimpulkan bahawa politik merupakan seni atau sains tentang cara pemerintahan atau tadbir urus sesebuah negara untuk menjamin kesejahteraan dan keharmonian dalam kalangan warganya di samping melahirkan suasana yang kondusif, selamat, aman dan harmoni. Selain itu, hal lain termasuklah menjalinkan dan mengekalkan hubungan dengan negara atau kuasa lain bagi pemeteraian kerjasama dalam bidang-bidang yang mampu untuk mendatangkan keuntungan dari aspek penjanaan pendapatan kepada negara.
Berdasarkan takrifan tersebut, adakah cakap-cakap tentang politik yang meniti dari bibir ke bibir itu mampu dijadikan sebagai aras penanda bahawa masyarakat kita khususnya, memahami pengertian politik? Secara umumnya, hal sedemikian suatu kemungkinan. Namun begitu, secara mendalamnya, hal tersebut masih berselubung keraguan dan kesangsian.
Apabila melihat arah aliran perbualan dan perbincangan semasa, hal yang jelas, pelarasannya lebih menjurus kepada persoalan pihak atau golongan yang “harus” dan “wajar” memerintah. Hal yang sedemikian itulah yang menjadi persoalan pokok. Selebihnya, natijah atau andaian yang dikutip daripada sumber yang diragui akan kesahihannya untuk menguatkan serta menegakkan pendirian masing-masing. Hal yang jelas, setiap kelompok akan sedaya upaya mempertahankan pendiriannya, waima melalui kaedah yang menyimpang atau tergelincir daripada nilai murni kehidupan sekalipun, untuk memastikan pandangan masing-masing ampuh menegak. Dalam konteks ini, matlamat menghalalkan cara.
Kematangan Politik
Dalam konteks negara ini,apabila disentuh soal kematangan politik, tidak mahu tidak, kita harus melihat dari dua sisi yang berbeza. Sisi yang pertama, dari segi usia politik negara apabila terbentuknya negara sendiri yang ditadbir urus oleh kalangan anak watan selepas kemerdekaan dicapai. Sisi kedua adalah kematangan pengamal politik serta masyarakat umum dalam ilmu atau bidang kenegaraan.
Sisi yang pertama sememangnya cukup mudah untuk dijawab. Namun demikian, berbeza halnya apabila pelarasan pandangan dihalatujukan kepada sisi yang kedua. Walaupun usia sejarah siasah negara melangkaui setengah abad, kita masih belum mampu untuk mendabik dada dan menyatakan bahawa masyarakat kita telah cukup matang dalam ilmu ketatanegaraan. Mungkin ramai daripada kalangan orang yang tidak akan menyetujui kenyataan sebegini. Begitulah kelazimannya. Manusia sukar untuk menerima kelemahan serta kesilapan yang ada dan dilakukan diri sendiri. Masing-masing mahu kelihatan menonjol dan dipandang arif dalam apa-apa juga tindakan atau perbuatan.
Jika diteliti butir perbincangan yang berlegar sekitar isu kepemimpinan menjelang sesuatu pilihan raya, sama ada negeri mahupun umum, akan dapat terkesan atau terlihat pola yang amat membimbangkan. Alir arah isu yang dibangkitkan, sama ada dalam media massa, laman sosial ataupun di warung-warung, mengarah lebih kepada “kutuk dan tawan”. Mungkin hal yang sedemikian ini legasi peninggalan dasar “pecah dan perintah” yang diamalkan oleh penjajah British dahulu. Aspek penjajahan yang masih kejap “melekat” dalam budaya berpolitik. Isu yang sering dibangkitkan lebih cenderung menjurus kepada soal yang peribadi sifatnya. Soal tentang dasar, pembangunan, tadbir urus, serta ketatanegaraan, walaupun turut “ditempelkan”, namun akhirnya akan “tergelincir” dan melencong menjadi soal yang menyentuh peribadi seseorang.
Hal yang amat membimbangkan dan tidak kurang juga menjengkelkan, adalah penggunaan perkataan atau istilah yang kesat, kurang sopan serta kurang wajar dengan tujuan semata-mata untuk memburuk-burukkan serta menjatuhkan imej seseorang. Di samping hal sedemikian itu, perbuatan menabur fitnah, kafir-mengkafir serta selar-menyelar menjadi amalan kebiasaan. Perbuatan sedemikian bukan sahaja berlaku dalam kalangan penyokong, pembangkang, golongan pendesak atau masyarakat umum, malah dalam kalangan ahli politik dan pemimpin. Senario seumpama ini bukan sahaja mencantingkan imej hodoh pada citra batik politik, akan tetapi turut menjadi tinggalan legasi yang kurang baik kepada generasi muda yang bakal digalaskan tanggungjawab dan harapan untuk memimpin negara pada masa hadapan.
Dalam konteks ini, memang bertepatanlah maksim Latin, homo homini lupus yang bermaksud “seseorang ialah serigala kepada seseorang yang lain”. Thomas Hobbes, filsuf Inggeris dan salah seorang pengasas falsafah politik moden dalam bukunya De Cive, menjelaskan bahawa manusia cenderung untuk berlaku baik dan adil dalam kalangan kelompoknya atau kumpulannya sendiri, akan tetapi berkelakuan sebaliknya bagi ahli dalam kelompok atau kumpulan lain. Sigmund Freud turut bersetuju dengan maksim ini dan dalam Civilization and Its Discontents, mengulas bahawa manusia bukan makhluk yang bersifat lembut serta suka disayangi atau dikasihi dan yang sentiasa mampu mempertahankan diri sendiri jika diancam. Manusia sebaliknya makhluk yang anugerah nalurinya agresif. Lantaran hal sedemikian itu, bagi mereka, jiran mereka bukan sekadar pembantu atau pemuas keinginan, akan tetapi golongan yang mampu mendatangkan ancaman, mengeksploitasi, menindas, merampas, mempersenda, menyakiti, mendera dan malah mengancam nyawa.
Pandangan yang dikemukakan oleh kedua-dua orang tokoh ini bertepatan dalam konteks kita melihat perilaku serta tindakan masyarakat umum dalam arena perdebatan isu politik. Bagi mereka yang terlibat secara langsung khususnya, apa-apa juga tindakan dan langkah harus dilakukan untuk mencapai impian, matlamat dan misi. Dalam hal sedemikian ini soal maruah, halal atau haram, betul atau salah dikesampingkan. Seperti yang dinyatakan sebelum ini, matlamat menghalalkan cara.
Perebutan Kuasa
Dalam konteks negara ini, kepemimpinan dan perebutan kuasa amat berkaitan rapat apabila berbicara tentang ranah siasah. Lantaran hal sedemikian itu, pilihan rayalah arena serta kaedah terbaik untuk berkuasa dan membentuk kerajaan dan seterusnya memerintah dan mentadbir urus negara. Dalam sistem demokrasi, pemilhan ketua kerajaan dilakukan melalui kaedah membuang undi. Calon dipilih daripada kalangan ahli parti yang sedang berkuasa. Adil dan saksama andai dilihat dari aspek teorinya. Namun demikian, dari segi amalan, dalam mana-mana bentuk pemilihan dan pengundian yang dilaksanakan di mana-mana negara di dunia, aspek ketelusan, keadilan dan kesaksamaan masih menghadirkan pertanyaan yang tiada jawapan pasti. Hal primer ialah kuasa berada dalam tangan.
Margaret Thatcher, mantan Perdana Menteri Britain yang terkenal dengan jolokan the iron lady, pernah mengatakan bahawa being in power is like being a lady. If you have to tell people you are, you aren’t. Amat mendalam maksud kata-kata beliau andai ditaakuli secara tekun. Namun secara tuntasnya, inti pati yang tersirat dalam bahasa halusnya adalah “cakap tidak serupa bikin Tidak perlu dihuraikan secara panjang lebar akan perkara ini. Tepuk dada, ujilah naluri.
Peredaran zaman menyaksikan kuasa sebagai elemen utama untuk mencapai apa-apa yang diimpikan, tidak kira sama ada yang bersifat baik, mahupun sebaliknya, dan melalui apa-apa juga kaedah. Memang ramai yang mengandaikan bahawa politik itu “kotor” dan penuh dengan tipu muslihat dan kelicikan, seperti salah satu penjelasan takrifannya dalam Kamus Dewan. Namun demikian, andai politik diamalkan dan dilaksanakan dengan mengambil kira aspek keagamaan (tanpa mengira apa-apa juga agama), pasti politik mampu menjadi satu daripada bidang ilmu yang dapat “menghidupkan” sifat keinsanan dalam nubari pemimpin, pengikut, penyokong, pendesak, pembangkang dan malah masyarakat umum. Dari kaca mata agama, siasah ialah tatapengacaraan kehidupan manusia menuju kesejahteraan dan keharmonian hidup bermasyarakat dengan meletakkan kuasa yang tertinggi kepada Tuhan. Mereka yang dipilih dan dilantik ialah pemegang amanah yang harus melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan adil dan saksama.
Persoalannya, mampukah hal yang sedemikian itu terzahir atau sekadar igauan yang bakal menggugat lena tidur? Tidak perlu untuk kita jawab, “tunggu dan lihat”, kerana sikap yang sedemikian inilah yang terbentuk apabila kemualan, kejelikan dan kehampaan mula membentuk dalam nubari. Waima apa-apapun yang diperkatakan, hal sedemikian ibarat lontaran kata-kata pada dinding kaku dan bisu yang dibina sebagai penampan dan pelindung. Oleh sebab itu, usaha untuk mewujudkan masyarakat yang peka, arif dan berwibawa dalam bidang siasah bukanlah perkara yang mudah. Politik ialah ilmu yang sering dikaitkan dengan kuasa dan kekuasaan, yang ibarat api, jika tidak tahu kaedah mengawalnya, akan membawa padah. Ibarat kata pepatah Inggeris, power corrupts, and absolute power corrupts absolutely. Dalam negara yang majmuk sifatnya, kesefahaman, keharmonian, kesepaduan serta keamanan perlu dititikberatkan bagi menjamin tadbir urus negara yang berkesan dan efisien. Hubungan antara “yang memimpin” dan “yang dipimpin” perlu dijalinkan dan diperkukuh. Keadilan sosial tanpa mengira bangsa, agama, budaya, fahaman dan sokongan harus diterapkan.
Natijahnya, kepekaan dan kearifan berpolitik perlu diterapkan dalam nubari setiap daripada kalangan warganegara. Ibarat ungkapan, “biar tahu, jangan keliru agar akhirnya tidak terkedu”. Tidak ingin kita melihat rakyat negara ini ibarat apa-apa yang digambarkan oleh Hobbes dan Frued lewat maksim homo homini lupus. Bagi mereka yang telah diberikan mandat untuk memimpin dan berkuasa, jadilah suri teladan atau contoh kepada mereka yang dipimpin agar berkembang legasi kepemimpinan yang arif, berkaliber dan berwawasan tinggi, di samping meletakkan nilai keagamaan dan kemanusiaan sebagai landasan primer menuju destinasi yang diimpi-impikan oleh pejuang kemerdekaan terdahulu.
Lindungi diri, lindung bangsa, lindungi negara!