Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • Budaya ‘ngabang’ perkukuh perpaduan kaum sempena Gawai Dayak
  • Tengah
  • WILAYAH

Budaya ‘ngabang’ perkukuh perpaduan kaum sempena Gawai Dayak

Utusan Sarawak 5 hours ago
MOHAMAD Duri ‘ngabang’ ke kediaman ADUN Krian, Friday Belik di Krian sempena sambutan Gawai Dayak, hari ini. Foto: ADUN Kalaka

KRIAN: Amalan budaya ‘ngabang’ atau kunjung-mengunjungi terus menjadi tradisi yang subur dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di Sarawak, khususnya ketika musim perayaan yang menjadi medan mengeratkan hubungan silaturahim dan perpaduan.

Selain Aidilfitri dan Tahun Baharu Cina, sambutan Gawai Dayak yang diraikan pada 1 Jun setiap tahun turut menyaksikan kehadiran masyarakat berbilang kaum dan agama yang bersama-sama memeriahkan suasana perayaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata budaya tersebut membuktikan keharmonian yang dinikmati rakyat Sarawak terus kekal utuh meskipun masyarakatnya terdiri daripada pelbagai latar belakang.

Menurut beliau, sempena sambutan Gawai Dayak tahun ini, beliau berkesempatan mengadakan kunjungan ke kediaman ADUN Krian, Friday Belik sebagai tanda persahabatan dan semangat muhibah yang telah lama diamalkan.

Katanya, kunjungan seperti itu bukan sekadar memenuhi jemputan rumah terbuka, malah menjadi platform penting untuk mengeratkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat.

Beliau berkata suasana penuh harmoni jelas dapat dirasai apabila tetamu yang hadir terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama yang sama-sama meraikan perayaan tersebut dalam semangat kekeluargaan.

SUASANA meriah sambutan Gawai Dayak di Krian memperlihatkan keharmonian masyarakat berbilang kaum yang bersama-sama meraikan perayaan melalui tradisi ‘ngabang’. Foto: ADUN Kalaka

“Budaya ngabang memperlihatkan keunikan masyarakat Sarawak yang sentiasa mengutamakan perpaduan, toleransi dan rasa hormat antara satu sama lain,” katanya.

Menurut Mohamad Duri, amalan berkunjung ketika musim perayaan perlu terus dipelihara dan diwariskan kepada generasi muda agar nilai kebersamaan tidak terhakis ditelan arus pemodenan.

Beliau turut menyeru rakyat negeri ini supaya terus mengekalkan budaya ngabang walaupun mempunyai perbezaan dari segi cara hidup, budaya dan kepercayaan.

Katanya, kepelbagaian perayaan yang diraikan di Malaysia telah menjadi medium penting dalam menyatukan rakyat serta memperkukuhkan persefahaman antara kaum.

Mohamad Duri menjelaskan bahawa Gawai Dayak bukan sahaja memperkenalkan budaya dan adat masyarakat Dayak kepada masyarakat lain, malah membuka ruang kepada perkongsian nilai serta tradisi yang unik.

“Perayaan Gawai Dayak sudah terbukti bukan sahaja mampu mempromosikan budaya masyarakat Dayak kepada masyarakat lain, malah ia dapat mengukuhkan lagi ikatan perpaduan antara kaum demi kesejahteraan bersama,” katanya.

Oleh Adi Safarman

Tags: wilayah

Continue Reading

Previous: RM30,000 diluluskan naik taraf replika gong Kampung Quop, jadi mercu tanda baharu Stakan
Next: Lelaki hilang ketika mencari daun palas di Kabong

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.