Budaya kebersihan asas bandar raya bersih, sejahtera

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

PETRA JAYA: Budaya kebersihan perlu dijadikan tanggungjawab bersama bagi memastikan Kuching terus berkembang sebagai bandar raya yang bersih, sihat dan lestari.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek bagi Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan Hal Ehwal Islam), Datuk Abdul Rahman Junaidi berkata, usaha menjadikan kebersihan sebagai budaya hidup perlu diperkasakan menerusi kerjasama semua lapisan masyarakat bagi mewujudkan persekitaran yang lebih kondusif dan berkualiti.

Beliau berkata, Kerajaan Sarawak menyasarkan Kuching berada dalam kelompok sembilan bandar paling bersih di dunia melalui pelbagai inisiatif mampan, termasuk penggunaan sistem pengangkutan awam berasaskan hidrogen.

“Bulan Kebersihan DBKU 2026 yang bertemakan Bandaraya Bersih, Komuniti Sejahtera menjadi platform untuk memperkukuh kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menjaga kebersihan serta kelestarian alam sekitar,” katanya ketika merasmikan Majlis Perasmian Bulan Kebersihan DBKU 2026 di Dewan Bandar Baru Samariang, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Abdul Rahman merakamkan penghargaan kepada DBKU atas kejayaan menerima ASEAN Clean Tourist City Award 2026–2028, yang mengiktiraf komitmen berterusan bandar raya itu dalam memenuhi piawaian kebersihan antarabangsa.

Menurutnya, pengiktirafan tersebut menjadi pemangkin kepada semua pihak untuk terus memperkukuh usaha menjaga kebersihan serta meningkatkan kualiti persekitaran bandar.

Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat supaya mengamalkan pengasingan sisa di punca, meningkatkan amalan kitar semula dan memperkasakan budaya gotong-royong agar kebersihan terus menjadi amalan harian demi kesejahteraan generasi akan datang.

Turut hadir Datuk Bandar DBKU Dato Hilmy Othman, Pengarah DBKU Ramzi Abdillah, Pengarah Jabatan Tanah dan Survei Sarawak merangkap Ahli Dewan Bandaraya DBKU Datu Awang Zamhari Awang Mahmood serta Penghulu Bandar Baru Samariang Osen Bujang.