KUCHING: Atlet bina badan veteran, Buda Anchah merancang untuk bersara selepas mengambil bahagian dalam dua lagi pertandingan antarabangsa.
Perkara tersebut didedahkannya kepada Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas semasa beliau mengadakan kunjungan hormat di pejabat Uggah di sini, hari ini.
Menurut Buda, beliau kini sedang mempersiapkan diri untuk Kejohanan Sukan Bina Badan dan Fizikal Asia ke-55 2023 di Kathmandu Julai ini dan AGP Pro Korea 2023 di Seoul, Korea pada Oktober kelak.
Kunjungan hormat Buda kepada Uggah diadakan bagi bertujuan menzahirkan penghargaan dan terima kasih atas bantuan dan sokongan beliau selama ini.
Sementara itu, Uggah berkata dedikasi dan semangat yang ditunjukkan Buda dalam bidang sukan perlu dicontohi generasi baharu.
“Kejayaan beliau adalah contoh yang boleh dicapai jika seseorang bersedia untuk memberikan dedikasi, berkorban dan komited terhadap disiplin sukan,” katanya.
Untuk rekod, Buda yang sudah lebih 30 tahun berkecimpung dalam bidang sukan itu kini menjadi tenaga pengajar sambilan di Majlis Sukan Sarawak.
Selain itu, beliau juga mengendalikan gimnasiumnya sendiri di Dataran Uni di Kota Samarahan yang telah dibantu oleh Uggah.
Beliau mempunyai kira-kira 100 ahli berdaftar yang terdiri daripada pelajar dan orang awam.
Tahun lalu, Buda sekali lagi mengharumkan nama negara apabila memenangi pingat emas pada Kejohanan Bina Badan dan Sukan Fizikal Dunia ke-13 (Kategori Terbuka Bina Badan Lelaki Master 50 hingga 60 tahun).
Beliau turut memenangi pingat gangsa bagi kategori Berpasangan Campuran pada kejohanan yang sama.
Buda, 51, telah mengambil bahagian dalam 29 pertandingan antarabangsa di mana beliau berjaya memenangi 13 tempat pertama.
Oleh RYNNA SHA’ERRA