
SARATOK: Hidangan makanan tradisional seperti bubur lambuk dan bubur pedas yang menjadi juadah setiap kali menjelang Ramadan, berupaya menjadi simbol perpaduan pelbagai kaum di negeri ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata hidangan istimewa ketika berbuka puasa itu, bukan sahaja diminati dan menjadi pilihan kebanyakan umat Islam ketika berbuka puasa, tetapi juga turut digemari dan dekat di hati semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama.
“Kita dapat lihat bagaimana program memasak bubur lambuk dan juga bubur pedas seperti yang diadakan hari ini berjaya mengumpulkan masyarakat tanpa mengira latar belakang, kaum dan agama. Mungkin menu ini berasal dari tradisi Melayu tetapi ia tetap disukai semua kaum.
“Alhamdulillah suasana beginilah yang diharapkan di mana semua komuniti baik kaum Iban, Cina dan Melayu berganding bahu menjayakan aktiviti yang penuh bermakna ini.
“Inilah kerharmonian hidup yang terjalin mesra sejak zaman nenek moyang kita dahulu,” katanya semasa menghadiri program pengagihan bubur lambuk dan bubur pedas anjuran Jawatankuasa Sosial dan Kebajikan (JKSK) Taman Seroja Indah Saratok dekat sini petang semalam.
Mohamad Duri berkata JKSK Taman Seroja Indah yang keahliannya terdiri daripada latar belakang dan pelbagai kaum yang berbeza dapat duduk segulai dan sejalai dalam memastikan perpaduan terus kukuh dan ampuh.
“Saya berharap agar semangat perpaduan, keharmonian dan keprihatinan yang dipupuk ini akan terus mekar dalam masyarakat kita,” katanya.
Dalam pada itu sebanyak 600 bubur lambuk dan 600 bubur pedas telah berjaya diagihkan bersama ahli-ahli JKSK Taman Seroja Indah yang diketuai oleh Pengerusinya, Lee Chai Teng kepada penduduk setempat.
Oleh Adi Saparman