
PARIT: Pada era 70-an hingga awal 90-an, bubur biskut kapal atau pengat biskut kapal menjadi antara juadah pencuci mulut yang cukup popular dalam kalangan masyarakat sekitar Perak Tengah.
Bagi mereka yang membesar pada era berkenaan, hidangan itu bukan sekadar pencuci mulut malah menjadi antara juadah yang dihidangkan dalam pelbagai keraian termasuk ketika menyambut Ramadan.
Rosnani Mohd Yunus, 64, berkata berdasarkan cerita generasi terdahulu, juadah itu dipercayai diperkenal oleh petani dan pesawah dari Pulau Pinang dan Kedah yang berhijrah ke daerah itu untuk mencari peluang baharu.
“Kebanyakan mereka datang sekitar 60-an dan 70-an untuk mengusahakan sawah serta kebun sebelum menetap dan mendirikan rumah tangga dengan penduduk tempatan.
“Dari situ, mereka bawa sekali resipi dari kampung halaman termasuk juadah bubur biskut kapal ini. Lama-kelamaan, ia menjadi popular dan sering dihidangkan sama ada untuk keluarga atau majlis tertentu,” katanya ketika ditemui Bernama di kediamannya di Kampung Seri Kaya, di sini.



Katanya pertama kali mengenali juadah berkenaan adalah ketika berusia 12 tahun selepas diperkenalkan ibunya yang berasal dari Pulau Pinang.
Rosnani berkata setiap kali ibunya menyediakan juadah berkenaan, beliau akan duduk bersama di dapur sambil memerhati dan mendengar penerangan tentang ramuan yang digunakan.
“Emak saya memang suka memasak dan buat kuih. Kebiasaannya saya antara anak yang akan duduk bersama di dapur sambil memerhati dan mendengar penerangan tentang ramuan yang digunakan satu persatu,” katanya.

Mengenai penyediaan juadah terbabit, ibu kepada lapan cahaya mata itu berkata antara bahan asas yang diperlukan ialah santan segar, gula kabung, daun pandan, garam dan biskut kapal.
Wanita berasal dari Bota Kiri itu berkata santan perlu dimasak terlebih dahulu bersama daun pandan sehingga naik aroma sebelum dimasukkan gula kabung yang memberi rasa manis serta warna keperangan semula jadi.
Campuran itu perlu dikacau perlahan menggunakan api sederhana bagi mengelak santan pecah minyak selain memastikan kuah menjadi sekata dan sedikit pekat.
“Bila gula dah larut dan kuah nampak likat, barulah masukkan sedikit garam untuk seimbangkan rasa. Garam itu penting supaya manisnya tak terlalu menonjol.
“Akhir sekali, baru kita masukkan biskut kapal ini ke dalam kuah bubur tersebut. Biskut ini dimasukkan pada peringkat akhir supaya ia tidak hancur dan teksturnya kekal lembut ketika dihidangkan,” katanya yang merupakan suri rumah sepenuh masa.

Rosnani berkata juadah itu bukan sahaja antara kegemarannya, malah sering dihidangkan kepada tetamu kerana proses penyediaannya yang mudah dan hanya mengambil masa kurang daripada 10 minit.
“Saya sukakan juadah ini kerana ia mengembalikan nostalgia zaman kanak-kanak, mengingatkan saya pada suasana dapur ibu yang hangat serta gelak ketawa adik-beradik ketika membantu ibu menyiapkan bubur ini pada bulan puasa,” katanya.
Dalam pada itu, Rosnani berkata untuk memastikan juadah tradisional ini tidak hilang ditelan zaman, beliau sentiasa melibatkan anak-anaknya dalam setiap proses penyediaannya.
Dengan cara itu katanya anak-anak dapat mengenali dan menghargai setiap ilmu yang diperturunkan kepada mereka termasuk hal membabitkan makanan.
“Selain itu, meneruskan tradisi ini bukan hanya untuk mengekalkan rasa makanan itu semata-mata, malah untuk memastikan budaya dan nostalgia yang tersimpan dalam setiap hidangan itu terus hidup serta boleh dinikmati bersama,” katanya. – Bernama