
KOTA TINGGI: Permukaan kolam yang pada awalnya tenang dengan puluhan buaya tembaga terapung tanpa banyak bergerak tiba-tiba berubah apabila beberapa ekor ayam beku dicampakkan ke dalam air.
Dalam sekelip mata, seekor buaya gergasi muncul dari dasar sebelum membaham habuannya dengan rahang yang menggerunkan, sekali gus mengundang rasa kagum dan seriau terutama kepada mereka yang kali pertama melihat reptilia itu dari jarak dekat.

Itulah Fey Fey, penghuni paling terkenal di Taman Buaya Teluk Sengat, di sini yang memegang gelaran buaya terpanjang di Semenanjung Malaysia, dengan anggaran 4.57 meter panjang dan berusia lebih 130 tahun.
Menurut pemilik taman berkenaan Cecilia Ng Siew Hiah, Fey Fey mempunyai selera makan luar biasa berbanding buaya lain di taman itu apabila mampu menelan lebih 10 ekor ayam sehari, namun keperluan makanan itu hanyalah sebahagian daripada cabaran yang perlu ditanggung Ng bagi memastikan hampir 1,000 buaya di taman berkenaan terus terpelihara.

“Dalam seminggu kami memerlukan lebih 1,000 kilogram ayam dan dalam sebulan bekalan makanan boleh mencecah hingga enam tan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Dikenali sebagai “Ratu Buaya” Teluk Sengat, wanita berusia 59 tahun itu berkata menyediakan bekalan makanan dalam jumlah yang besar itu hanyalah sebahagian daripada tanggungjawab yang dipikulnya setiap hari.
Lebih daripada sekadar menjaga haiwan eksotik, beliau meneruskan amanah keluarga yang diwariskan kepadanya sebagai generasi ketiga sejak mengambil alih pengurusan taman seluas 4.04 hektar itu kira-kira 15 tahun lepas.
Walaupun kulit dan daging buaya mempunyai nilai komersial yang tinggi, Ng tetap berpegang kepada prinsip yang ditinggalkan mendiang bapanya untuk tidak sesekali menjadikan reptilia itu sebagai sumber keuntungan melalui penyembelihan atau penjualan kulit.

Sebaliknya, Ng meneruskan wasiat bapanya untuk menyimpan dan memelihara khazanah berkenaan demi tatapan masyarakat khususnya rakyat Malaysia dan pelancong antarabangsa.
“Sebelum bapa meninggal dunia, dia menarik tangan saya dan berpesan, ‘Ingat, 365 hari setahun pintu taman ini mesti dibuka’. Bapa mahu memastikan kawasan dalam sentiasa terjaga, jadi saya susun jadual cuti pekerja dengan teratur dan sepanjang saya menguruskan tempat ini syukur tiada pengunjung yang merungut,” katanya.
Beliau berkata taman berkenaan bukan sekadar destinasi pelancongan, tetapi juga berfungsi sebagai pusat pendidikan bagi memperkenalkan masyarakat kepada sifat sebenar reptilia itu serta kepentingan memulihara spesies itu.
“Buaya ini luarannya ganas tetapi sebenarnya ‘hatinya kecil’ sebab mudah terkejut. Buaya tidak mempunyai penyakit khusus, tetapi kalau terkejut dengan bunyi mercun yang terlalu kuat, ia boleh mati,” katanya.

Di sebalik pintu taman yang sentiasa terbuka kepada pengunjung, realiti menguruskan taman itu tidak semudah disangka apabila jumlah pelancong yang tidak menentu menyebabkan pendapatan sukar diramal, sedangkan kesemua buaya yang ditempatkan di lebih 10 kolam berasingan perlu terus diberi makan dan dipelihara setiap hari.
“Ada masanya saya sendiri tertanya-tanya bagaimana hendak memastikan bekalan ayam untuk bulan berikutnya mencukupi. Mujurlah sepanjang tempoh sukar sekitar lapan bulan lepas, ada tiga kilang ayam yang banyak membantu dan menyokong saya untuk menjaga buaya-buaya ini,” kata wanita itu yang kini menggajikan kurang daripada 10 petugas.

Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16, Ng berharap wakil rakyat yang bakal dipilih serta kerajaan baharu yang akan dibentuk nanti sudi mengadakan lawatan untuk melihat sendiri potensi besar serta cabaran yang dihadapi taman berkenaan.
“Bagi saya, amat rugi jika tempat yang mempunyai nilai sejarah yang tersendiri serta potensi pelancongan seperti ini tidak diberikan perhatian yang sewajarnya,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyuarakan harapan supaya lebih banyak sokongan dapat diberikan bagi memastikan ikon pelancongan itu terus berkembang sebagai destinasi pendidikan, pemuliharaan dan tarikan pelancong untuk generasi akan datang.
“Memandangkan taman ini sudah berusia lebih 100 tahun, saya berharap legasi ini dapat diteruskan oleh generasi keempat dan kelima, malah kekal hingga berusia 200 atau 300 tahun,” katanya yang turut menyimpan hasrat untuk membuka taman itu pada waktu malam bagi menawarkan pengalaman berbeza kepada pencinta hidupan eksotik.
Johor yang mempunyai 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sedang mengadakan pilihan raya negeri dengan hari pengundian ditetapkan pada Sabtu ini. – Bernama