
LIMBANG: Kehadiran seekor buaya dewasa yang sering dilihat berjemur berhampiran kawasan kediaman ketika air surut menimbulkan kebimbangan penduduk Kampung Bukit Kota, Kampung Pemukat dan kawasan sekitarnya.
Menurut Matasan Amit, 69 tahun, seorang penduduk Kampung Bukit Kota, berkata dia menyedari kehadiran seekor buaya yang sedang berjemur tidak jauh dari rumahnya.
“Penduduk sering melihat kelibat buaya dewasa ini berjemur di atas tanah berhampiran rumah, terutama ketika air surut. Kadangkala ia juga timbul ketika air pasang.
“Walaupun tiada insiden buruk setakat ini, namun kehadiran buaya itu tetap merisaukan kami,” katanya ketika ditemui media.
Matasan turut memaklumkan bahawa sejak kehadiran reptilia tersebut tahun lalu, penduduk mendakwa beberapa ekor kucing peliharaan hilang secara misteri, dipercayai menjadi mangsa buaya.
Tambah beliau, kejadian itu telah dimaklumkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.
Sebelum ini, penduduk kampung pernah digemparkan dengan kemunculan buaya bersaiz besar yang dilihat bersantai di Pangkalan Feri Bukit Kota serta kejadian seekor buaya membaham itik peliharaan beberapa tahun lalu.
Oleh Adeng Edrus