

DITEMUI MATI... Seekor buaya dewasa ditemui mati bersama umpan yang dipasang. Foto APM Sarikei
SARIKEI: Seekor buaya dewasa ditemui mati semasa operasi pemindahan buaya di hari keempat bertempat di Sungai Sarikei, semalam.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sarikei, Leftenan (PA) Shahrol Azizi Zaidi, berkata operasi tersebut di sertai oleh pihak Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sarikei dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sarikei.

“Operasi semalam bermula 9.00 pagi hingga 1.00 petang.
“Semasa operasi tersebut, seekor buaya dewasa telah dijumpai mati bersama umpan yang dipasang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Katanya, bangkai buaya tersebut kemudiannya dibawa ke Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) APM Sarikei untuk pengambilan data dan sampel oleh pihak SFC.
“Seterusnya subjek (buaya) dibawa ke Pejabat SFC Wilayah Sibu untuk tujuan selanjutnya.
“Operasi ditangguhkan dan akan disambung semula pada hari ini,” katanya.
Oleh Earl Anek