Buaya betina 2.7 meter berjaya ditangkap SFC di Sungai Krian

Facebook
WhatsApp
SEEKOR buaya betina sepanjang 2.7 meter berjaya ditangkap di Sungai Krian, hari ini. Foto Edisi Kalaka

SARATOK: Operasi khas memburu buaya yang memasuki hari ke-18 di Sungai Krian mencatat satu lagi kejayaan apabila Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) Sarikei berjaya menangkap seekor buaya betina sepanjang 2.7 meter hari ini.

Operasi yang dijalankan dengan kerjasama penduduk Kampung Perpat itu dilaksanakan bagi menangani ancaman buaya yang semakin membimbangkan di kawasan berkenaan, khususnya di sepanjang Sungai Krian.

Dengan tangkapan terbaharu itu, jumlah keseluruhan buaya yang berjaya ditangkap sepanjang operasi meningkat kepada lima ekor, sekali gus menunjukkan keberkesanan usaha berterusan pasukan SFC dalam mengurangkan risiko kepada penduduk.

Operasi dijangka masih diteruskan dengan pemantauan rapi serta pemasangan umpan di beberapa lokasi yang dikenal pasti sebagai kawasan tumpuan reptilia berkenaan.

Terdahulu, pada hari ke-14 operasi, SFC berjaya menangkap seekor buaya jantan sepanjang 4.2 meter dengan lebar kira-kira 0.7 meter selepas haiwan itu memakan umpan yang dipasang berhampiran Sungai Krian, berdekatan Sekolah Kebangsaan (SK) Perpat.

Tangkapan buaya bersaiz besar itu dilihat sebagai antara kejayaan penting dalam operasi kerana dipercayai mampu mengurangkan ancaman terhadap komuniti yang bergantung kepada sungai untuk aktiviti harian.

Selepas selesai operasi hari ini, pegawai SFC Sarikei turut meluangkan masa menziarahi mangsa serangan buaya yang kini berada di Kampung Tengah Perpat sebagai tanda keprihatinan terhadap keadaan mangsa dan keluarganya.

Operasi khas itu dilancarkan susulan insiden serangan buaya terhadap seorang nelayan tempatan pada 20 Julai lalu di Sungai Krian berhampiran Rumah Galing, Lubok Nibong.

Dalam kejadian tersebut, nelayan berkenaan bernasib baik apabila berjaya menyelamatkan diri daripada menjadi mangsa serangan reptilia itu, namun insiden berkenaan mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk setempat.

Sehubungan itu, SFC mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada ketika menjalankan aktiviti di sungai serta mengelakkan kawasan yang dikenal pasti berisiko tinggi, terutama pada waktu awal pagi dan lewat petang.

SFC dijangka meneruskan operasi pemantauan, pemasangan umpan dan rondaan di beberapa lokasi strategik sehingga keadaan benar-benar selamat, selain mengharapkan kerjasama masyarakat untuk segera melaporkan sebarang kelibat buaya kepada pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan semua pihak terus terpelihara.

Oleh Adi Safarman