SARIKEI: Buaya sepanjang 4.3 meter berjaya ditembak mati oleh penduduk kampung di Jalan Sungai Baji di sini petang semalam.
Ini setelah mereka cemas dan terkejut melihat kehadiran kelibat reptila ganas itu berkeliaran di anak sungai berkenaan.
Terdahulu, seorang penduduk menghubungi Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sarikei.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sarikei, Leftenan (PA) Shahrol Azizi Zaidi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada pengadu sekitar jam 4.40 petang.
“Lima anggota APM Sarikei diketuai oleh Lans Korporal (PA) Jackson Beliang bergegas ke lokasi.
“Setibanya di lokasi, pasukan APM Sarikei dengan kerjasama penduduk kampung menjalankan operasi menangkap buaya,” ketika dihubungi media, malam tadi.
Beliau berkata berjaya ditangkap menggunakan tali dan telah mati ditembak oleh penduduk kampung.
Katanya, bangkai buaya tersebut telah dibawa ke PKOD Sarikei dan diserahkan kepada pihak Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) Sibu untuk tindakan selanjutnya.
“Operasi di lokasi selesai pada jam 6.15 petang,” katanya.
Oleh Earl Anek