

BINTULU: Seekor buaya dianggarkan sepanjang 5.56 meter berjaya ditangkap oleh sekumpulan pemburu buaya dalam satu operasi di Sungai Kemena di sini, hari ini.
Operasi yang diketuai oleh Juni Kung itu berjaya menumpaskan reptilia berkenaan selepas haiwan tersebut dipercayai memakan umpan yang dipasang sejak beberapa hari lalu di kawasan sungai berkenaan.
Menurut maklumat yang dikongsikan menerusi media sosial, buaya bersaiz besar itu merupakan tangkapan kedua oleh kumpulan terbabit dalam tempoh singkat, sekali gus menarik perhatian penduduk setempat dan pengguna media sosial.
Rakaman video dan gambar yang tular menunjukkan buaya berkenaan berjaya dinaikkan dari sungai sebelum dibawa menggunakan sebuah lori untuk tujuan dokumentasi dan pemeriksaan lanjut.

Kejayaan operasi itu turut menerima pelbagai ucapan tahniah daripada orang ramai yang memuji usaha pasukan pemburu buaya berkenaan dalam membantu mengurangkan ancaman reptilia tersebut di kawasan Sungai Kemena.
Bagaimanapun, maklumat mengenai berat buaya itu serta tindakan lanjut oleh pihak berkuasa berkaitan belum diperoleh setakat ini.
Sungai Kemena merupakan antara kawasan habitat buaya di Sarawak dan beberapa insiden melibatkan reptilia itu pernah dilaporkan di kawasan berkenaan sebelum ini.
Oleh Carolyne Utih