
SANTUBONG: Pasukan SWAT daripada Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) telah digerakkan ke kawasan pantai Pasir Panjang dan Pasir Pandak, Santubong susulan aduan orang awam dan penularan video kehadiran buaya menerusi laman Facebook Dapo Anjang.
Hasil operasi malam tadi, seekor buaya betina dianggarkan sepanjang 3.2 meter berjaya ditangkap sebelum dipindahkan ke lokasi yang lebih sesuai bagi menjamin keselamatan pengunjung pantai.
Menurut kenyataan SFC, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada ketika menjalankan sebarang aktiviti air terutama berhampiran muara, sungai dan pesisir pantai, khususnya pada waktu senja dan malam.
Pengunjung turut diingatkan agar menjauhi kawasan yang telah ditandakan dengan papan amaran kehadiran buaya serta tidak mengabaikan arahan keselamatan yang telah dipasang.
SFC turut merakamkan penghargaan kepada orang awam atas kerjasama yang diberikan dalam usaha melaporkan kehadiran reptilia berkenaan, di samping menyeru komuniti setempat agar terus peka terhadap risiko interaksi dengan hidupan liar.
Kehadiran buaya di kawasan tertentu merupakan sebahagian daripada realiti ekologi tempatan, dan situasi ini menuntut pemahaman serta penyesuaian tingkah laku manusia terhadap persekitaran yang dikongsi bersama.
Sehubungan itu, SFC akan terus memperkukuh pemantauan serta melaksanakan inisiatif pendidikan dan kesedaran awam berhubung kepentingan keseimbangan antara keselamatan manusia dan kelestarian alam sekitar.