PUTRAJAYA: Rakyat Malaysia di luar negara disarankan membuat ujian saringan Covid-19 tiga hari sebelum mereka pulang ke tanah air, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata ia berikutan terdapat isu tempoh waktu menunggu yang terlalu lama apabila mereka yang pulang dari luar negara tiba di lapangan terbang untuk menjalani ujian saringan COVID-19.
“Ada kemungkinan jika mereka tidak dapat keputusan ujian swab dalam sehari, mereka akan dihantar ke pusat kuarantin di institut-institut latihan awam sehingga keputusan itu keluar.
“Oleh itu, sebagai pilihan kepada rakyat kita yang ingin pulang dan tidak menunggu lama di lapangan terbang, mereka disarankan membuat saringan Covid-19 tiga hari sebelum mereka pulang,” katanya pada sidang media harian perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan di sini, semalam.
Mereka yang telah menjalani saringan di luar negara, kata beliau, perlu mendapatkan sijil pengesahan bahawa keputusan mereka negatif serta mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan seperti memuat turun aplikasi MySejahtera, wajib pakai gelang tangan kuarantin dan kuarantin di rumah selama 14 hari.
Mengenai laporan media semalam berhubung beberapa diplomat termasuk Duta Amerika Syarikat ke Malaysia, Kamala Shirin Lakhdhir yang masih menunggu untuk kembali bertugas di negara ini sejak Mac kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Ismail Sabri berkata kerajaan tidak menghalang mereka kembali.
“Pintu masuk negara masih ditutup kepada warga asing kecuali diplomat kerana mereka bekerja di negara ini. Peserta Malaysia My Second Home juga boleh kembali ke negara ini.
“Jadi dakwaan yang mengatakan duta dan diplomat asing tidak dibenarkan kembali ke Malaysia adalah tidak betul,” katanya.
Ismail Sabri berkata duta dan diplomat asing berkenaan perlu mesti menjalani ujian saringan Covid-19 di negara masing-masing tiga hari sebelum balik ke negara ini dan menyimpan dokumen pengesahan.
“Mereka boleh menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari dan muat turun aplikasi MySejahtera supaya pergerakan mereka boleh dipantau,” katanya.
Ditanya mengenai pengimbas suhu badan yang mencatatkan bacaan tidak tepat, beliau berkata pengusaha atau pemilik premis perniagaan mesti membeli pengimbas suhu yang diluluskan oleh Pihak Berkuasa Peranti Perubatan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia.
“Pengusaha perniagaan yang sudah membeli pengimbas suhu badan perlu mengambil inisiatif dalam memastikan ketepatan bacaan pengimbas suhu masing-masing,” katanya. – Bernama