
MIRI: Setiap kali menjelang sambutan Tahun Baharu Cina, buah limau kembali menjadi perhatian utama masyarakat, sama ada sebagai hiasan, buah tangan mahupun simbolik doa dan harapan untuk tahun yang lebih baik.
Tinjauan di beberapa pasar raya dan gerai sementara di sekitar bandar raya ini mendapati permintaan terhadap limau tetap menjadi tumpuan .
Orang ramai khususnya masyarakat Tiong Hua dilihat memilih limau yang segar dengan warna oren terang kerana dipercayai melambangkan rezeki dan kemakmuran.
Menurut Thomas Lim, 45, limau ini bukan sekadar buah, ia simbol doa supaya hubungan kekeluargaan terus erat dan rezeki bertambah.
“Dalam tradisi masyarakat Cina, warna keemasan limau sering dikaitkan dengan kekayaan, manakala bentuknya yang bulat membawa maksud kesempurnaan dan keharmonian.
“Justeru, buah ini sering disusun rapi di ruang tamu dan kaunter perniagaan sebagai lambang permulaan yang positif,” katanya di sini.

Sementara itu, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Miri-Sibuti juga tidak lupa meneruskan tradisi tahunan pengagihan limau mandarin sempena Pra-Tahun Baharu Cina 2026 sebagai tanda keprihatinan dan usaha mengeratkan hubungan silaturahim bersama masyarakat setempat.
Begitu juga dengan Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man yang juga turun padang mengadakan Program Agihan Limau dan Angpau kepada masyarakat setempat di sini.
Menurut Chiew, agihan limau ini bukan sekadar simbolik perayaan, tetapi sebagai tanda penghargaan dan keprihatinan terhadap masyarakat setempat.
” Ia melambangkan kemakmuran, kesejahteraan dan harapan baharu sempena Tahun Baharu Cina,” katanya.
Oleh Liong Chai Ling